Teks : Faridah Yusof
Bismillah.
Anak-anak selalu memerhatikan aktiviti dan perlakuan kita sebagai ibu bapa. Semasa saya masih bertugas sebagai guru, saya selalu menulis dalam buku catatan, membuat persediaan mengajar dan menanda buku latihan di rumah. Dalam diam, anak saya memerhatikan saya. Pada suatu hari yang lain, saya terlihat dia 'menulis' di buku catatan milik saya. Saya juga masih ingat dek kerana kecuaian saya sendiri, anak saya menconteng Buku Persediaan Mengajar saya pula. Akhirnya saya dapatkan buku catatan khas untuknya agar dia tidak menconteng buku saya lagi.
Begitu juga bagi anak-anak kecil yang biasa melihat ibu bapanya memegang dan membaca buku, selalunya juga terikut-ikut suka kepada buku. Lucu juga apabila melihat anak-anak kecil ini seolah-olah khusyuk membaca buku walaupun buku yang dipegang sebenarnya terbalik.
Pilih Buku Yang Bersesuaian Untuk Anak Anda
Sekiranya anak- anak kecil sudah mula menunjukkan minat kepada buku, mereka perlu terus disokong. Berikan buku yang bersesuaian dengan usia dan kemampuan mereka.
Contoh 'cloth book' |
Selain itu, terdapat juga buku kain yang mempunyai loceng, butang atau fabrik kain yang berbeza serta pelbagai variasi. Sekiranya terdapat butang atau loceng, pastikan anak-anak kecil menggunakannya di bawah pengawasan ibu bapa atau pengasuh kerana anak-anak kecil suka memasukkan buku ke dalam mulut dan menggigit butang / loceng yang terdapat pada buku tersebut. Terdapat pelbagai tajuk buku kain yang boleh dipilih dan dibeli di pasaran samada secara atas talian (online) atau di kedai-kedai buku.
Selain daripada buku kain, terdapat juga buku-buku yang kecil dan comel , biasanya dipanggil 'chunky book'. Buku ini juga sesuai untuk anak-anak kecil. Cuma dari pengalaman saya menggunakan bersama anak-anak, perlu ada pengawasan ibu bapa atau pengasuh kerana mereka suka memasukkan bucu buku ke dalam mulut. Ini boleh mengakibatkan mereka menelan cebisan kertas yang sudah basah dari bucu buku tersebut. Selain itu, buku juga akan cepat rosak. Sebagai alternatif, kita boleh salutkan buku tersebut dengan plastik pembalut buku bagi mengelakkan anak-anak kecil menggigit bucu buku.
Contoh 'chunky book' |
Bagi anak-anak yang belum pandai membaca, maka ibu bapa perlu bacakan kepada mereka. Pilihlah bahan bacaan yang menarik dan mudah untuk mereka faham. Bacakan dengan intonasi dan nada suara yang pelbagai mengikut kesesuaian. Banyakkan interaksi dengan anak tentang gambar-gambar di dalam buku.
Beri Peluang Anak Pilih Buku Sendiri
Ibu bapa juga boleh bawa anak-anak ke perpustakaan dan biarkan mereka memilih sendiri buku di bahagian buku kanak-kanak. Daftarkan mereka menjadi ahli perpustakaan. Selain dapat membaca di perpustakaan, mereka juga boleh membawa balik buku yang dipinjam. Sebagai ibu bapa, pastikan anak kita menjaga dan menggunakan buku tersebut dengan baik.
Selain itu sesekali, bawalah mereka ke kedai, pesta atau pameran buku. Berilah mereka kebebasan untuk memilih buku kegemaran mereka sebagai hadiah hari lahir atau sebagainya. Ibu bapa juga sangat digalakkan membimbing anak-anak dalam membuat pilihan agar buku yang dibeli bersesuaian dengan keupayaan membaca anak-anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan