Teks : Faridah Yusof
Bismillah.
Saya pernah berkata pada anak-anak saya , " Ok dah ya, simpan mainan, asyik bermain jer. Jom baca buku pula".
Adakah normal kanak-kanak asyik bermain sahaja?
Sebelum ini, saya rasa macam rugi jika anak-anak asyik bermain sahaja.
Melalui pembacaan dan pemerhatian saya, rupa-rupanya dengan bermain, ia dapat membantu perkembangan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak. Mereka lebih ceria dan mudah mendengar kata setelah puas bermain.
Bermain juga dapat mengembangkan potensi
serta kreativiti kanak-kanak. Semasa bermain mereka menggunakan daya imaginasi dan angan-angan mereka.
Sekarang, saya suka memerhati anak-anak kecil bermain. Ada sahaja telatah dan aktiviti mereka yang mencuit hati dan buat saya tersenyum sendiri. Apabila kanak-kanak bermain, apa sahaja barang atau alat
yang mereka jumpa mereka gunakan sebagai alat permainan mereka. Adakalanya
riben di plastik hamper hadiah juga dijadikan permainan, dijadikan
gelang dengan membuat lilitan di pergelangan tangan.
Mereka leka dan begitu asyik dengan permainan mereka. Mereka menikmati saat indah dalam kehidupan mereka dengan bermain. Sebahagian besar masa kanak-kanak dipenuhi dengan bermain.
Sebagai ibubapa, kita memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak dapat bermain dan mereka mendapat manfaat daripada aktiviti bermain tersebut. Kita perlu memantau anak-anak ketika bermain. Sediakan permainan yang bersesuaian dengan umur mereka dan selamat untuk digunakan.
Sekali-sekala bermainlah juga bersama anak-anak. Mereka sangat gembira bila ibu dan bapa turut menyertai pemainan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan