Gambar : Faridah Yusof
Bismillah.
Alhamdulillah. Anak kedua saya sudah genap umurnya 5 tahun pada 12 November yang lalu. Dia sangat unik dan istimewa.
Sudah hampir 6 bulan dia tidak mahu ke sekolah tadika.
Saya mengajarnya mengaji menggunakan buku Al-Furqan dan membaca kaedah fonik Bacalah Anakku. Saya masih berusaha untuk mengajarnya walaupun dia jarang sekali menunjukkan minat mahu belajar. Dan dia juga mudah lupa apa yang sudah dipelajari.
InsyaAllah saya tidak berputus asa untuk memastikan dia boleh membaca Iqra' atau Al-Furqan dan Bahasa Melayu sebelum dia ke sekolah rendah.
Untuk menarik minatnya mengaji dan belajar membaca, saya pelbagaikan cara dan kaedah. Adakalanya berkesan dan adakalanya tidak berkesan.
Antara cara yang berkesan, saya meletakkannya di atas riba untuk mengajar. Saya juga mengaplikasikan ilmu mendorong anak menggunakan teknik Nabi, seperti memuji usahanya.
Berikut adalah contoh langkah yang saya gunakan untuk mengajar anak membaca.
Skrip yang saya gunakan untuk mengajar 'Aina membaca.
♡ " 'Aina (panggil nama anak dengan lembut dan senyum), hari ini mama nak ajar bunyi pada 'Aina. Mahu dengar tak bunyi apa?"
♡ Saya lihat respon anak:
》 jika anak angguk/jawab mahu/jawab nak, saya terus ke langkah seterusnya
》 jika anak tidak beri respon,saya cuba sekali lagi atau cuba semula pada waktu lain. Mungkin anak tidak bersedia, lapar, penat atau kurang sihat. Uruskan anak dahulu.
♡ Saya sebut bunyi yang hendak diperkenalkan. Sebut bunyi 3-5 kali.
" Baik, 'Aina dengar ya. Tengok mulut mama"
♡ " 'Aina dengar bunyi apa? " , "Bagus, 'Aina dengar dan sebut dengan betul. Baik, cuba ulang bunyi tadi. " (sambil menepuk-nepuk atau mengusap bahunya)
♡ " 'Aina, ini.. bunyinya ...." sambil tunjukkan kad yang mengandungi simbol bunyi yang diperkenalkan tadi. Bunyikan, kemudian bunyikan bersama anak dan kemudian anak ulang bunyi tadi sendiri.
♡ "Ok, sekarang kita nyanyi pula, mahu tak?"
Nyanyikan rangkap lagu Abu Ada Ayam yang mengandungi bunyi yang diperkenalkan.
♡ Nyanyi bersama-sama dan ulang sehingga anak dapat mengenal dan menyebut bunyi dengan betul.
♡ Hadiahkan senyuman, pelukan dan ciuman kepada anak. "Tahniah, bagus 'Aina. Allah suka orang yang belajar bersungguh-sungguh. InsyaAllah, mama yakin 'Aina boleh membaca dengan cepat. Esok kita belajar bunyi lain pula ya."
Antara strategi lain yang berkesan ialah belajar sambil bermain dengan menggunakan plastisin.
Dia sangat suka plastisin. Sudah tentu kanak-kanak sangat suka dengan plastisin.
Setelah saya mengajarnya, contoh mengajar bunyi huruf A, saya berikan dia peluang untuk menggunakan plastisin.
Saya dapati, bermain dan belajar dengan plastisin menjadikan anak lebih memberi tumpuan. Bila saya kata saya mahu ambil gambarnya dan mahu tunjuk pada kakak dan ayah petang nanti, lagi dia suka.
Plastisin dibentuk menjadi bebola kecil |
Tunjukkan cara menyusun bebola kecil plastisin mengikut cara menulis yang betul. |
Plastisin di atas saya beli di kedai.
Jika mahu buat sendiri, boleh klik di sini .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan