Khamis, 10 September 2015

Memikat Selera Anak Dengan Labu Manis

Teks & foto : Faridah Yusof




Bismillah.
Labu oh labu.
Labu yang biasa kita temui di pasar dikenali sebagai labu manis.
Labu adalah antara makanan kegemaran anak-anak saya. Memang tidak cukup nasi, bila saya masak lemak labu. Tambah telur goreng sahaja pun sudah cukup lauk untuk hari tersebut.
Pelbagai menu makanan boleh dihasilkan dari labu seperti masak lemak labu, kek labu, muffin labu, bengkang/ bingka labu, puding labu, cucur labu, bubur labu, donut labu, kuih keria labu, kerepek labu dan macam-macam lagi.
Labu mengandungi kandungan antioksida yang tinggi dan kaya dengan vitamin.

Labu yang direbus, dilenyek dan ditapis boleh diperkenalkan kepada anak kecil selepas usia 6 bulan ke atas. Tidak perlu dicampur gula atau garam. Boleh dicampur sedikit dengan susu ibu untuk mencairkan teksturnya. Pasti bayi anda gemar akan rasanya yang manis secara semulajadi.

Oleh kerana, labu yang kami beli agak besar saiznya, saya bercadang untuk membuat  bingka labu selain menu utama masak lemak labu.

Alhamdulillah, ada resepi yang ringkas dan mudah untuk bingka labu. Bahan-bahan lain juga ada di rumah.

Anak-anak sudah tidur, maka bolehlah saya menyediakan bingka labu untuk sarapan esok.

Resepi Bingka labu mudah
Bahan-bahan:

2 biji telur
2 cawan santan
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan susu pekat
1/2 sudu kecil garam
1 sudu teh vanila
2 sudu besar butter
2 cawan tepung gandum tanpa peluntur
2 cawan labu yg telah direbus dan dilecek.
Bijan putih dan hitam untuk hiasan.

Cara:
Satukan dan gaul sebati semua bahan kecuali labu.
Kisar dalam pengisar pun boleh.
(Untuk di rumah, santapan anak-anak, gaul dengan tangan sambil selawat dan doa-doa yang baik bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan)
Kemudian satukan labu. Kacau rata.
Tuang dalam loyang yang telah diminyakkan. Boleh gunakan loyang 8"/9" bulat. Kali ini saya guna loyang empat segi 10" x 10".
Bakar pada suhu 150c selama 1 jam atau hingga masak. Saya tambah masa untuk lebih garing atasnya.
Sudah sejuk, baru boleh potong. Selamat mencuba.

Sambil menunggu bingka labu masak, saya mahu siapkan 'schedule post' di Fanpage Kedai Serbaneka Mama.

Bau harum bingka yang sedang dibakar, mencucuk hidung. Tak sabar rasanya mahu makan.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...