Teks: Faridah Yusof
Bismillah.
Hari ini, saya dan keluarga ke perpustakaan desa untuk pulangkan buku-buku yang telah kami pinjam. Risau juga saya kerana buku-buku yang kami sekeluarga pinjam hampir lewat 2 bulan dari tarikh sepatutnya dipulangkan.
Sewaktu kami sampai, tiada orang di perpustakaan melainkan pustakawan yang bertugas.
Alhamdulillah, syukur, pustakawan tersebut memahami keadaan saya yang baru bersalin dan berpantang.
Anak-anak saya, Najihah dan 'Aina bukan main seronok memilih buku untuk dipinjam di rak buku kanak-kanak. sekejap pilih yang ini, sekejap pilih yang itu. Muhammad Darwisy pula berlari-lari ke sana ke mari dengan aktif.
Saya pun tanpa berlengah memilih buku-buku untuk dipinjam sambil mendukung anak kecil saya, Muhammad Daniyal. Bahagia bila melihat buku. Seronok dan nikmat. Suami juga memilih dua buah buku untuk dipinjam.
Selesai memilih buku, anak-anak ke ruangan majalah pula. Saya lihat Najihah dan 'Aina memilih majalah Asuh. 'Aina sekadar menyelak helaian-helaian muka surat majalah dan melihat gambar. Kasihan dia kerana belum pandai membaca.
InsyaAllah minggu hadapan, saya akan bawa 'Aina bertemu doktor pakar di Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan penilaian dan pengesahan tentang masalahnya berkaitan Disleksia. Jika benar, insyaAllah pasti ada jalan dan cara yang sesuai untuk mengajar 'Aina membaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan