Isnin, 9 Januari 2017

Aktiviti Buat Donat

Teks: Faridah Yusof

Dari semalam, anakanda 'Aina mahu makan donat. Tapi belum sempat tunaikan.

Tadi, lihat bahan-bahan di dapur nampak gayanya cukup untuk ditukarkan kepada donat.

Daniyal tidur dan mahu tunggu apa lagi, saya terus ambil bahan-bahan, penimbang, bekas pengadun, mula. Jiha, 'Aina dan Darwisy nampak saya sedang menyediakan bahan, semua datang ke meja. Semua mahu tolong.

"Ok, basuh tangan dulu. Baru boleh tolong."
"Sapu tangan dengan minyak"

Alhamdulillah, siap sahaja doh, Daniyal masih nyenyak tidur. Saya beri seorang sedikit doh. Adalah sebesar penumbuk bayi. Bolehlah untuk mereka menggolek dan menggelek doh. Jadi aktiviti untuk menajamkan kemahiran motor halus anak-anak. Jiha dan 'Aina seronok dan berjaya membuat bentuk bulat untuk donut. Ada yang besar dan ada yang kecil. Tak mengapa, pada saya. Asalkan mereka rasa seronok dan gembira. Mereka tak sabar mahu makan donut yang mereka buat.

Darwisy pula, habis digolek dan digelek dohnya di dalam piring, kemudian di atas meja, kemudian di lantai dan di dinding. Akhirnya dia letak doh atas rambut dan bawah tikar. Sabar sahajalah.

Doh yang sudah dibulat-bulatkan untuk donut, saya biarkan di dalam oven yang tidak dipasangkan elektriknya. Biar doh mengembang dulu, baru digoreng.

Apa itu kemahiran motor halus? Kenapa ya kemahiran motor halus ini penting?

Kemahiran motor halus melibatkan pergerakan kecil tangan, pergelangan tangan, jari dan juga kordinasi pergerakan dengan organ deria seperti mata.

Kemahiran motor halus ini penting dalam perkembangan anak. Ia perlu berkembang mengikut usia anak. Ini akan membantu perkembangan dan membina kekuatan otot tangan serta jari anak kecil. Kemahiran motor halus ini akan membantu aktiviti anak kelak seperti memegang pensil, menulis, menggunting, menampal, mewarna, melukis, mengikat tali, memakai butang dan banyak lagi.

Berikut adalah antara aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk mengasah kemahiran motor halus anak.

1. bermain pasir, sekarang ada banyak pasir ajaib atau magic sand boleh main di dalam rumah
2. bermain plastisin, 'playdough',
3. kolaj : mengoyak dan menampal
4. bermain menyusun 'blok' atau mencantum mainan
5. menconteng
6. mewarna dengan menggunakan jari dan warna air
7. mengasingkan objek kecil
8. menulis di atas pasir
9. membancuh atau mengacau air
10. cop tangan
11. memotong kek atau kuih

Alhamdulillah. Bila donut telah mengembang dengan jayanya, apalagi, kita goreng dia. Darwisy sudah tidak sabar-sabar lagi mahu makan donut.

Yang sudah digoreng tapi belum sempat disalut gula halus juga dia sapu.

2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...