Teks: Faridah Yusof
Alhamdulillah. Sampai juga di rumah bonda, Daniyal juga sudah bangun. Lebih kurang jam 4 pagi kami sampai. Lega rasanya apabila dapat menjejakkan kaki ke dalam rumah. Syukur alhamdulillah. Allah beri kemudahan dan kelancaran.
Masuk sahaja ke rumah, beri salam, terus saya mencari bonda. Bonda sedang bertahajud. Saya tukar lampin Daniyal dahulu, tukar pakaian dan susukan dia sementara menanti ibu.
Selesai bonda solat, kami berbual. Macam-macam yang saya tanyakan tentang perjalanan ibu di Madinah dan Mekah. Seronok mendengarnya. Bonda juga nampak ceria bila sewaktu berkongsi cerita. Ya Allah, jemputlah kami untuk menunaikan Umrah dan Haji. Berharap dapat pergi sekeluarga. Semoga Allah perkenankan doa hamba. Aamiin.
Kami berbual hingga jam 5 lebih. Kemudian solat Subuh. Sewaktu minum pagi, berbual lagi. Sambil berbual, menjamah manisan yang bonda beli dari Mekah. Sedap rasanya makan bersama roti. Ada rasa manis dan pahit. Ada kacang pistachio.
Rupanya sudah beberapa minggu bonda tidak ke pasar untuk membeli barang jualan di kedai. Fairuz, adik yang bongsu menggantikan tugas bonda ke pasar. Alhamdulillah. Saya doakan semoga Allah berikan kesihatan, kesejahteraan dan kebaikan yang banyak kepada Fairuz dan adik-adik yang lain kerana membantu bonda meneruskan perniagaaan kedai runcit yang banyak berjasa.
Bonda nampak sihat, cuma tekanan darahnya rendah dan bonda rasa pening. Biarlah bonda berehat. Saya sangat ingin menolong bonda dan adik-adik di kedai runcit. Namun apakan daya, saya juga ada tanggungjawab sebagai ibu dan anak di Perak. Setakat ini, saya hanya mampu berdoa agar Allah sentiasa melimpahkan rezeki yang banyak untuk perniagaan bonda.
Tengaharinya, saya dan bonda memenuhi jemputan kenduri kahwin jiran setaman. Sebelah petangnya, saya ditemani adik yang kelima ke Melaka Central untuk membeli tiket bas balik Ke Manjung. Kali ini saya ambil dua kerusi terus. Tiket bas jam 9.30 pagi dari Melaka dan dijangka sampai Manjung jam 4.00 petang. Saya masih memilih Transnasional untuk perjalanan pulang dari Melaka ke Manjung. Terus saya maklumkan suami tentang jadual perjalanan bas supaya dia dapat menjemput saya esok di Stesen Bas Manjung.
Sebelah malamnya pula, saya dan Daniyal duduk di kedai runcit bonda bersama adik-adik yang lain sehingga kedai tutup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan