Teks: Faridah Yusof
Pagi-pagi lagi, saya sudah bersiap dan bersarapan sementara Daniyal masih lagi tidur.
Jam 8.15 pagi bergerak ke Melaka Central dihantar oleh adik lelaki dan ditemani bonda. Rasa sedih mahu berangkat pulang. Apakan daya, saya perlu pulang kerana keesokkannya anak-anak akan ke sekolah untuk sesi persekolahan 2017.
Seperti yang saya jangkakan, bas pastinya penuh dengan penumpang. Saya beratur kemudian apabila barisan penumpang yang beratur untuk naik bas sudah pendek.
Usai bersalam dan mencium bonda, saya dan Daniyal menaiki bas. Rupanya bas yang sama saya naiki dari Manjung kerana saya cam pemandu dan pembantu pemandunya.
Bas bergerak tepat mengikut jadualnya. Bas singgah ke Terminal Bas Seremban, terus ke Teluk Intan dan Manjung.
Suasana dalam bas juga tenang. Cuma Daniyal aktif dan tidak mahu duduk. Puas juga saya mahu melekakan dia dengan permainan, dengan kismis buah tangan dari bonda. Dia main cak-cak dengan penumpang remaja perempuan yang duduk di kerusi sebaris dengan kami. Sempat juga dia makan lepat pisang pemberian remaja tersebut. Kami juga sempat berbual dan berkenalan. Rupanya dia pelatih IKM.
Penat bermain, akhirnya Daniyal tidur sebentar. Dapatlah juga saya melelapkan mata. Sedar-sedar sudah hampir sampai Teluk Intan. Teluk Intan ke Manjung sudah dekat. Semasa hampir tiba di Teluk Intan, hujan agak lebat.
Alhamdulillah, akhirnya kami selamat sampai ke Manjung. Syukur alhamdulillah. Perjalanan lancar dan sejahtera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan