Teks: Faridah Yusof
Sejak pertama kali diperkenalkan dengan lampin kain moden yang juga lebih dikenali dengan 'cloth diapers' atau CD pada tahun 2010, saya terus menggunakannya hingga kini. Bermula dari anak kedua sehinggalah anak keempat sekarang. Sudah masuk tahun ketujuh.
Kenapa lampin kain moden menjadi pilihan berbanding lampin pakai buang dan lampin kain tradisional? Ini jawapan saya:
1. Lampin kain moden mudah untuk diguna dan diurus.
Hanya masukkan pelapik (juga dikenali sebagai 'insert') ke dalam poket, laraskan butang saiz lampin jika perlu dan pakaikan kepada anak. Lebih kurang sama seperti cara pemakaian lampin pakai buang. Lebih mudah berbanding lampin kain tradisional. Lebih selamat tanpa perlu menggunakan pin.
Apabila sudah digunakan, hanya perlu buangkan najis, basuh dan keringkan. Apabila sudah kering, boleh digunakan semula.
2. Mesra kepada alam sekitar
Lampin kain moden diperbuat dari kain dan fabrik yang lebih selamat kepada bayi dan alam sekitar. Penggunaan lampin pakai buang bukan sahaja menambahkan jumlah sisa pepejal di dalam negara, malah pengurusan sisa pepejal yang kurang berhemah boleh mendatangkan penyebaran kepada penyakit.
3. Lebih nilai kepada wang
Semasa saya melahirkan anak keempat, anak ketiga saya baru berusia dua tahun dan dia masih memakai lampin. Bayangkan jika kedua-dua anak memakai lampin pakai buang. Sudah tentu setiap kali membeli barangan keperluan rumah, troli barang penuh dengan pek lampin pakai buang. Dan sudah tentu lebih banyak wang yang perlu dibelanjakan untuk membeli lampin tersebut.
Saya membuat kira-kira untuk lampin yang berharga sederhana, tidak terlalu murah dan bukan yang berharga premium. Satu pek dalam lingkungan harga RM 35-RM 40 mengandungi 52/64/76/84 helai mengikut saiz. Satu pek dapat digunakan dalam tempoh dua-tiga minggu sahaja. Bayangkan untuk tempoh 3 tahun, berapa perbelanjaan yang dikeluarkan untuk lampin pakai buang sahaja.
Manakala lampin kain moden, hanya perlu keluarkan duit lebih pada permulaannya tetapi lampin tersebut dapat digunakan berulang kali. Lampin anak kedua saya masih boleh dapat digunakan sehingga hari ini. Kini adiknya yang keempat pula menggunakannya.
Selain itu, lampin kain moden yang berkualiti tinggi walaupun agak mahal tetapi bernilai. Ia boleh dijual semula. Saya sendiri ada membeli lampin kain moden terpakai dari sahabat yang saya kenali dari Grup Penyusuan Susu Ibu.
4. Corak dan warna yang menarik
Lampin kain moden ada yang bercorak (printed) dan berwarna-warni. Ada yang berwarna (plain). Terdapat banyak pilihan dan comel sahaja apabila dipakai kepada anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan