Teks: Faridah Yusof
Beberapa minggu ini teringin benar mahu makan bubur kacang hijau. Tuan suami sudah pun belikan bahan-bahannya. Cuma tukang masaknya belum berkesempatan untuk menyediakan bubur yang diidam-idamkan.
Hari ini, tidak disangka-sangka, seorang sahabat menghantar sebekas besar bubur kacang yang dibawa dari rumah mertuanya di Kedah. Seronok rasanya bagaikan anak kecil yang mendapat aiskrim.
Bubur kacangnya istimewa. Bukan sahaja ada kacang hijau. Bahkan ada sagu besar, sagu kecil, kacang merah besar dan jagung. Kata sahabat saya, itu 'signature' masakan ibu mertuanya. Patutlah istimewa sekali.
Sewaktu sahabat menghantar di rumah, masih sejuk. Apa lagi, sebaik sahaja sahabat berlalu pulang ke rumahnya, ambil senduk, sudu dan mangkuk. Tidak bertangguh untuk menjamahnya. Anak-anak pun suka benar.
Suami balik untuk makan tengahari, bawa pula seplastik besar buah duku langsat dan rambutan. MasyaAllah. Rezeki dari-Nya. Syukur sebanyak-banyaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan