Teks: Faridah Yusof
Apa khabar sahabat maya hari ini? Apa khabar para ibu yang baik dan penuh kasih sayang.
Ibu, sesungguhnya makhluk yang Allah ciptakan penuh cinta dan kasih sayang pada anaknya. Marahnya juga kerana sayang. Mahu lihat anak itu menjadi yang baik-baik sahaja.
Ibu, ada masanya mengorbankan diri. Korban masa, tenaga, jiwa dan raga khusus untuk anak dan keluarga.
Namun, ibu juga manusia. Ibu juga perlu rasa disayangi, perlu sihat, perlu bersemangat, perlu masa untuk dirinya sendiri.
Beruntung para ibu di mana, suaminya selalu menyokong, memahami, memberi kecukupan material dan emosinya. Ibu boleh mengurus rumah dengan lebih efektif dan penuh bersemangat.
Realitinya di zaman akhir ini, ramai ibu yang berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran kehidupan. Ada ayah yang tidak ambil peduli dan kurang bertanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak. Ibu sendirian mengurus anak dan rumahtangga. Ibu tidak diberikan perhatian, tidak difahami kehendak dan keinginannya oleh pasangan hidupnya. Tiada komunikasi yang berkesan di antara suami dan isteri.
Ada ibu yang menanggung derita akibat dari pengurusan kewangan suaminya yang lemah. Si ibu terpaksa berjimat cermat dan menahan rasa mahu makan makanan yang berkhasiat. Ada masanya pula menanggung malu dengan jiran serta sanak saudara kerana tidak dapat menyumbang duit dalam acara keluarga. Jiran pula nampak bil merah di pagar, tanda bil bertunggak atau ada masanya bekalan air/elektrik terpaksa dipotong atau dihalau dari rumah sewa. Juga ada ibu yang terpaksa membiarkan barang emasnya tergadai tanpa dapat ditebus kerana tiada lagi duit di dalam simpanan. Ada juga yang terpaksa menjual aset yang ada seperti kereta atau rumah bagi meringankan bebanan kewangan yang mendesak.
Ibu mahu bekerja, mahu menyumbang kepada keluarga, malah ada yang perlu membayar balik hutang pelajaran seperti PTPTN. Namun, bila sudah mempunyai anak, ibu perlu menjaga anaknya sendiri. Ibu mahu mendidik anak sendiri pada usia emas anak. Apatah lagi bila ada anak yang diuji kesihatannya.
Maka pilihan yang mungkin ada, ibu bekerja dari rumah. Ibu bekerja dari rumah dan dalam masa yang sama menjaga dan mendidik anak. Mencabar bukan? Sedangkan tugas di rumah sahaja banyak dan tidak habis-habis, ditambah pula tugas menjana pendapatan.
Di sinilah banyak cabaran yang menambah tekanan dan menganggu emosi ibu.
Ibu, yakinlah, sepanjang hidupmu itulah pelajaran dan pembelajaran yang akan mematangkan. Memohon dan bergantung harap hanya kepada Dia. Pasti kau lebih mudah menghadapi ujian dan cabaran yang mendatang. InsyaAllah tugas mendidik anak tidaklah menjadi bebanan dan tekanan buatmu kerana kau yakin Allah sentiasa ada mendengar rintihan dan rayuan serta doamu.
Salam kebahagian buat semua isteri dan ibu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan