Jumaat, 11 September 2015

Debaran Ibu Hamil

Teks dan foto: Faridah Yusof

Bismillah. Salam Jumaat.

Alhamdulillah. Beberapa hari lagi insyaAllah menghampiri ke tarikh jangkaan bersalin.

Perasaan saya ketika ini? Sungguh berdebar-debar. Biarpun ini adalah kandungan yang kelima, insyaAllah kelahiran yang keempat.

Proses bersalin boleh menjadi satu tempoh yang pendek atau panjang. Saya hanya berserah kepadaNya. Serah sebulat-bulatnya.

Persediaan dari segi mental dan fizikal penting. Saya banyak mencari buku dan bahan bacaan tentang kehamilan, bersalin, penyusuan susu ibu, berpantang, kesihatan ibu dan anak selepas kelahiran. Ini hanya sebagai pengetahuan dan persediaan mental bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Kebanyakan buku-buku ini saya beli semenjak saya mengandung anak pertama. Alhamdulillah. Buku-buku ini sangat bermakna dan banyak membantu saya untuk bersedia.






Antara buku-buku yang menjadi rujukan saya:

1. Buku Panduan Lengkap Penjagaan Ibu & Anak, Elizabeth Fenwick, Sasbadi
2. Ensiklopedia Perbidanan Melayu, Anisah Barakbah
3. Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu, Dr Faridah Idris
4. Susu Ibu Titisan Mutiara Bonda, Nazirah & Zaharah
5. Detik Kelahiran Si Permata Hati, Mazneera
6. Mengatasi Masalah Hamil & Kelahiran, Zuhriah
7. Soal Jawab Kehamilan, Dr Fauziah
8. Penjagaan Ibu Hamil Sebelum, Semasa, Sesudah & Pantang Larangnya, Pn Amina
9. Pedoman Amalan Ibu Mengandung, Nur Asyikin
10. Diari Hamil Menanti Detik Keindahan Bersama, Panduan Lengkap Kehamilan

Selain itu, saya juga selalu berbincang dengan doktor berkenaan kesihatan diri dan bayi di dalam kandungan pada setiap kali perjumpaan.

Alhamdulillah, kandungan kali ini saya tidak menghidap 'Diebetes' seperti kandungan keempat. Namun, saya masih berhadapan dengan HB yang rendah. Alhamdulillah, doktor sentiasa memberikan nasihat dan sokongan bagi mengatasi masalah ini.

Bagi ibu-ibu yang ingin mendapatkan buku Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu hasil tulisan Dr Faridah Idris dan buku Diari Hamil Menanti Detik Keindahan Bersama, Panduan Lengkap Kehamilan, boleh dapati di https://www.facebook.com/KedaiSerbanekaMama atau hubungi saya terus di 0136735893.









Khamis, 10 September 2015

Memikat Selera Anak Dengan Labu Manis

Teks & foto : Faridah Yusof




Bismillah.
Labu oh labu.
Labu yang biasa kita temui di pasar dikenali sebagai labu manis.
Labu adalah antara makanan kegemaran anak-anak saya. Memang tidak cukup nasi, bila saya masak lemak labu. Tambah telur goreng sahaja pun sudah cukup lauk untuk hari tersebut.
Pelbagai menu makanan boleh dihasilkan dari labu seperti masak lemak labu, kek labu, muffin labu, bengkang/ bingka labu, puding labu, cucur labu, bubur labu, donut labu, kuih keria labu, kerepek labu dan macam-macam lagi.
Labu mengandungi kandungan antioksida yang tinggi dan kaya dengan vitamin.

Labu yang direbus, dilenyek dan ditapis boleh diperkenalkan kepada anak kecil selepas usia 6 bulan ke atas. Tidak perlu dicampur gula atau garam. Boleh dicampur sedikit dengan susu ibu untuk mencairkan teksturnya. Pasti bayi anda gemar akan rasanya yang manis secara semulajadi.

Oleh kerana, labu yang kami beli agak besar saiznya, saya bercadang untuk membuat  bingka labu selain menu utama masak lemak labu.

Alhamdulillah, ada resepi yang ringkas dan mudah untuk bingka labu. Bahan-bahan lain juga ada di rumah.

Anak-anak sudah tidur, maka bolehlah saya menyediakan bingka labu untuk sarapan esok.

Resepi Bingka labu mudah
Bahan-bahan:

2 biji telur
2 cawan santan
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan susu pekat
1/2 sudu kecil garam
1 sudu teh vanila
2 sudu besar butter
2 cawan tepung gandum tanpa peluntur
2 cawan labu yg telah direbus dan dilecek.
Bijan putih dan hitam untuk hiasan.

Cara:
Satukan dan gaul sebati semua bahan kecuali labu.
Kisar dalam pengisar pun boleh.
(Untuk di rumah, santapan anak-anak, gaul dengan tangan sambil selawat dan doa-doa yang baik bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan)
Kemudian satukan labu. Kacau rata.
Tuang dalam loyang yang telah diminyakkan. Boleh gunakan loyang 8"/9" bulat. Kali ini saya guna loyang empat segi 10" x 10".
Bakar pada suhu 150c selama 1 jam atau hingga masak. Saya tambah masa untuk lebih garing atasnya.
Sudah sejuk, baru boleh potong. Selamat mencuba.

Sambil menunggu bingka labu masak, saya mahu siapkan 'schedule post' di Fanpage Kedai Serbaneka Mama.

Bau harum bingka yang sedang dibakar, mencucuk hidung. Tak sabar rasanya mahu makan.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah.

Rabu, 5 Ogos 2015

Anak Belum Pandai Membaca

Teks: Faridah Yusof

Anak kedua saya, Nur 'Aina Madihah, berumur 6 tahun, masih belum lancar membaca.

Di sekolah tadikanya, kaedah fonik digunakan untuk mengajar membaca, sama seperti saya mengajarnya di rumah.

Minggu lepas, saya berpeluang berbual dengan salah seorang guru di sekolahnya. Kami bertukar pandangan tentang perkembangan anak saya ini. Menurutnya, 'Aina sudah banyak peningkatan. Sudah boleh beralih ke buku seterusnya. Saya senyum sahaja dan ucap syukur di dalam hati. Berbeza pula ketika di rumah, tiada banyak peningkatan. Ada masanya lansung tidak mahu membaca.

Di rumah, setiap hari saya akan cuba mengajarnya membaca. Adakalanya tidak sampai pun 5 minit. Tiada paksaan. Jika dia sudah tidak mahu belajar membaca, saya tukarkan kepada aktiviti lain.

Buat anakanda Aina, Mama akan terus berusaha mencari aktiviti yang menarik perhatian 'Aina untuk belajar membaca. Harapan Mama agar 'Aina dapat membaca sebelum 'Aina memasuki alam persekolahan formal tahun hadapan.

Rabu, 24 Jun 2015

40

Teks: Faridah Yusof

1. Ajar Anak Kecil Mengaji
2. Ajar Anak Kecil Membaca Bahasa Melayu
3. Ajar Anak Kecil Membaca Bahasa Inggeris
4. Tips Anak Kecil Suka Mengaji
5. Tips Anak Kecil Suka Membaca
6. Bahan Bacaan Untuk Anak Kecil
7. Tips Mudah Membaca
8. Kaedah Berkesan Ajar Anak Kecil Membaca
9. Kemahiran dan Perkembangan Anak Ikut Umur
10. Kenapa Anak Tidak Minat Membaca?
11. Meransang Anak Kecil Minat Membaca
12. Anak Belajar Sambil Bermain
13. Permainan Untuk Anak
14. Kenapa Anak Perlu Bermain?
15. Tips Untuk Ibubapa Mengajar Anak Di Rumah
16. Tips Bantu Anak Lambat Membaca
17. Tips Ransang Anak Seronok Membaca
18. Kenali Potensi Anak-anak
19. Kaedah Berkesan Ajar Anak kecil Membaca
20. Masa Terbaik Untuk Mula Ajar Anak Membaca
21. Kenapa Anak Malas Membaca?
22. Kenapa Anak Tidak Mahu Membaca?
23. Bahan Bantu Mengajar Anak Membaca
24. Bilakah Umur Sesuai Anak Kecil Belajar Membaca?
25. Bacakan Buku Kepada Anak Kecil
26. Budaya Membaca Bermula Dari Rumah
27. Ajar Anak Istimewa Membaca
28. Buku-buku Yang Bagus Untuk Anak
29. Waktu Sesuai Untuk Anak Membaca
30. Anak Belajar Membaca
31. Ajar Membaca Kaedah Fonik
32. Apa Itu Fonik?
33. Mengapa Kaedah Fonik Berkesan?
34. Anak Membaca Dan Menulis
35. Anak dan Buku
36. Mengapa Mahu Anak Membaca Awal?
37. Untuk Apa Anak Membaca?
38. Bila Anak Seronok Membaca.
39. Membudayakan Tabiat Membaca
40. Tips Untuk Anak Terus Membaca Hingga Dewasa

Khamis, 18 Jun 2015

Anak dan Puasa

Teks: Faridah Yusof
Bismillah.
Alhamdulillah.
Berpeluang lagi untuk bertemu 1 Ramadan pada tahun ini.
Beberapa hari dan minggu sebelum Ramadan, sudah dicanangkan pada anak-anak tentang kedatangan Ramadan. Tiada sarapan, makan tengahari atau minum petang seperti selalu.
Alhamdulillah, cubaan anak untuk berpuasa satu hari penuh dapat dilaksanakan. Namun yang lucunya, soalan yang kerap ditanya, pukul berapa boleh minum dan makan? lambat lagi ke boleh makan? lagi berapa minit boleh minum?
Kasihan juga. Terus saya hadiahkan sebuah buku cerita kepadanya. Lupa sebentar tentang waktu berbuka.
Semasa berbuka, untuk meningkatkan semangatnya, saya puji usahanya berpuasa penuh hari ini. Dia minum dengan bersungguh-sungguh air susu kurma kegemarannya.
Alhamdulillah. Semoga anakanda istiqamah dan berusaha lagi esok. Aamiin.

Sabtu, 4 April 2015

Anak Tumpahkan Air Minum

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah, hari ini dapat bersarapan bersama suami dan anak-anak.

Anak-anak selalunya suka minum susu, manakala saya dan suami suka minum kopi O halia.

Sedang menikmati sarapan, anak yang sulung mengusik si adik dengan kata-kata sehingga si adik marah dan tertolak cawan minumannya. Lalu tumpahlah air susunya tadi. Bertambah riuhlah dengan tangisan si adik pula.

Sebagai ibu, saya memang pada awalnya seperti mahu terkeluar respon secara spontan marah kepada anak yang sulung kerana menjadi punca insiden tadi.

Cepat-cepat istighfar. Mulut tutup rapat-rapat. Diam seketika, tarik nafas dan bertenang.

Saya minta si kakak ke dapur, ambil kain lap dan lap minuman yang tumpah. Saya gantikan minuman si adik. Saya juga alihkan tumpuan dengan bercerita tentang aktiviti selepas bbersarap

Saya fokuskan kepada solusi iaitu keringkan air yang tumpah dan lupakan kesilapan anak.

Alhamdulillah, situasi panas dan tegang tidak berlarutan.

Rabu, 1 April 2015

1 April 2015

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah, diberi peluang lagi oleh Allah untuk mencari bekal ke negeri abadi.

Hari ini genap sudah empat tahun saya meninggalkan kerjaya sebagai cikgu sekolah. Alhamdulillah, empat tahun penuh kesyukuran dan keinsafan. Adakah saya rasa bosan atau menyesal? Tidak sama sekali. Bahkan kesibukan setiap hari membuatkan saya tidak sempat untuk melihat belakang.

Hari ini juga, genap tujuh tahun ayahanda kami pulang kepadaNya. Doa kami agar ayahanda dapat berehat dari kesibukan dunia sementara menanti kami pulang dan tibanya Hari Kiamat.

Hari ini juga, perlaksanaan GST berkuatkuasa. Pelbagai respon di segenap lapisan masyarakat.

Sebagai seorang ibu yang bekerja dari rumah (WAHM), saya juga tidak terkecuali dari GST. Sebagai contoh, awal pagi tadi, saya membeli tambahnilai prabayar telefon secara 'online'. Sebelum ini, saya hanya perlu membayar RM 10, namun pagi ini perlu membayar RM 10.60. Untuk tambahnilai RM 50 pula kini menjadi RM 53. Itu baru satu perbelanjaan.

Ya, ramai yang mengeluh. Namun, dengan mengeluh, tiada yang dapat diubah.

Jadi, apa yang boleh kita ubah?
Ubah apa yang ada pada diri kita.

Ubah cara kita melihat setiap yang berlaku. Lihat bahagian positifnya, lihat kepada manfaatnya.

Kita akan jadi orang yang lebih berusaha, pengguna yang bijak dan lebih berhikmah dalam berbelanja.

Bersyukur dan berusahalah. Dialah Yang Memberi Rezeki, Maha Kaya dan Maha Pemurah.

Dia juga Maha Mendengar doa orang yang dizalimi.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...