Isnin, 14 September 2015

Berbual Dengan Bayi Dalam Kandungan

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Ibu dan ayah yang bakal menerima cahaya mata atau mempunyai anak kecil perlu rajin bercakap-cakap dengan anak kecil mereka.


Ibu dan ayah boleh mula bercakap-cakap sejak bayi mereka dalam kandungan lagi. Kajian menunjukkan bercakap-cakap dengan bayi di dalam kandungan membantu perkembangan otak bayi untuk kemahiran bahasa dan pendengaran. 
Menurut Puan Nik Eliani, pengasas dan penulis buku Set Bacalah Anakku Kaedah Fonik, bayi dalam kandungan mula mendengar bermula umur 5 bulan dan lebih peka pada waktu malam di antara pukul 8 hingga 12 malam (waktu paling baik untuk meransang bayi dalam kandungan). Beliau dan suami lebih kerap berbual-bual dan mengusap bayi mereka apabila kandungan berumur 8 bulan. Pada usia kandungan tersebut, berat otak bayi bertambah dua kali ganda yang menunjukkan bilangan sel-sel otak dan pertumbuhan dendrait yang pesat.

Bayi dapat mendengar degupan jantung ibu, bunyi perut ibu yang sedang berkeroncong kelaparan dan juga bunyi dari luar.


Kajian Sains juga menunjukkan bayi dalam kandungan memberi respon dengan menendang atau bergerak apabila mendengar bunyi muzik, suara ibu atau bunyi yang terlalu kuat. Terdapat juga kajian yang mengukur degupan jantung bayi apabila mendengar rakaman sajak yang dibacakan oleh ibu mereka.


Bunyi suara ibu antara bunyi yang selalu didengar oleh bayi dan bayi akan merasa selesa mendengar suara ibu apabila lahir kelak.


Apa yang perlu dibualkan?


Berbuallah dengan pelbagai nada dan intonasi dengan bayi. Berceritalah tentang aktiviti yang ibu lakukan, perasaan ibu atau apa sahaja yang ibu ingin katakan. Ibu atau ayah juga boleh bacakan cerita, membaca ayat-ayat Al-Quran, zikir, selawat, menyanyi lagu kanak-kanak dan sebagainya.


Biarpun bayi tidak memahami apa yang ibu dan ayah bacakan, katakan dan nyanyikan kepada mereka, namun menurut kajian, bunyi suara ibu terutamanya membuatkan bayi teruja.


Saya masih ingat sewaktu mengandung anak ketiga, saya kerap membaca Al-Fatihah pada waktu malam sambil memegang perut. Setelah bayi lahir, apabila saya bacakan Al-Fatihah, matanya memandang ke arah saya dan mulut saya, seolah-olah mengamati apa yang saya bunyikan.


Usap perut dari bawah ke atas dengan lembut, sebaik-baiknya ketahui kedudukan badan anak. Gosok persekitaran perut dengan perlahan.

Usap dengan lembut sambil ibu berkata-kata dengan perlahan. Apabila anda merasa bayi bergerak, balaslah dengan sentuhan dan usapan penuh kasih sayang. Ada kalanya ibu dapat merasa bayi bertindak balas/memberi respon terhadap sentuhan yang diberikan. Ia seperti satu ikatan mesra yang terbina antara bayi dan ibu sejak dari dalam kandungan. Juga pastinya ibu dan ayah teruja, melihat pergerakan bayi seperti bonjolan tajam yang bergerak di dalam perut.

Di Malaysia, belum ada kajian yang terperinci tentang kesan bercakap atau berbual dengan bayi di dalam kandungan menjadikan bayi tersebut seorang yang pintar dan bijak kelak.

Namun, seringkali saya mendengar nasihat kepada ibu yang kandungannya sonsang untuk berbual, bercakap dan memujuk bayi sambil mengusap perut supaya bayi mengubah kedudukannya kepada kedudukan normal. Setakat mana kebenarannya, tidak dapat disahkan.

Selain itu, bagi ibu Muslim, sangat digalakkan untuk membaca Al-Quran, berzikir dan selawat sepanjang tempoh kehamilan. Walaupun tidak dapat disahkan secara saintifik, namun saya percaya, dengan membaca Al-Quran, zikir dan selawat, emosi ibu lebih tenang dan stabil, menjadikan degupan jantung ibu juga stabil, maka anak yang di dalam kandungan juga dapat membesar dengan tenang dan baik. Wallahu'alam.

Ahad, 13 September 2015

Aktiviti Menggunting

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah. Syukur di atas segala nikmat dari Allah.

Hujung minggu biasanya aktiviti tertumpu kepada keluarga, memenuhi undangan kenduri atau ke perpustakaan.

Namun keadaan diri yang semakin sarat dan sesekali terasa seperti 'contraction' menyebabkan saya hanya duduk di rumah sahaja. Hanya suami dan anak perempuan sahaja yang memenuhi jemputan kenduri.

Sambil menemani anak yang kecil bermain, saya membaca dan memerhatikannya. Anak berusia dua tahun mahu berdikari. Dia mahu mencuba sendiri sebagai contoh mahu menggunting. Tidak diberi gunting, menangis kuat seperti satu taman boleh dengar suaranya.

Akhirnya, saya mengalah dan memberikannya gunting dan beberapa helai kertas. Seronok dia menggunting. Macam-macam gaya dia menggunting. Memang bersepah-sepah cebisan kertas yang telah diguntingnya.

Aktiviti begini perlu pengawasan orang dewasa. Biasanya setelah bosan menggunting kertas, benda-benda lain juga akan cuba digunting seperti kain, rambut, tudung, daun-daun. Semua benda mahu digunting.

Juga perlu kesabaran yang tinggi kerana rumah akan bersepah-sepah. Namun demi memberi peluang kepada anak untuk melatih kemahiran motor halusnya.

InsyaAllah, sekarang sudah boleh memegang gunting dan menggunting.


Aktiviti manipulasi untuk membina kemahiran motor halus untuk anak kecil 2 tahun.
●memotong menggunakan gunting.
●mengoyakkan kertas menjadi cebisan kecil
●menampal

Jumaat, 11 September 2015

Debaran Ibu Hamil

Teks dan foto: Faridah Yusof

Bismillah. Salam Jumaat.

Alhamdulillah. Beberapa hari lagi insyaAllah menghampiri ke tarikh jangkaan bersalin.

Perasaan saya ketika ini? Sungguh berdebar-debar. Biarpun ini adalah kandungan yang kelima, insyaAllah kelahiran yang keempat.

Proses bersalin boleh menjadi satu tempoh yang pendek atau panjang. Saya hanya berserah kepadaNya. Serah sebulat-bulatnya.

Persediaan dari segi mental dan fizikal penting. Saya banyak mencari buku dan bahan bacaan tentang kehamilan, bersalin, penyusuan susu ibu, berpantang, kesihatan ibu dan anak selepas kelahiran. Ini hanya sebagai pengetahuan dan persediaan mental bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Kebanyakan buku-buku ini saya beli semenjak saya mengandung anak pertama. Alhamdulillah. Buku-buku ini sangat bermakna dan banyak membantu saya untuk bersedia.






Antara buku-buku yang menjadi rujukan saya:

1. Buku Panduan Lengkap Penjagaan Ibu & Anak, Elizabeth Fenwick, Sasbadi
2. Ensiklopedia Perbidanan Melayu, Anisah Barakbah
3. Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu, Dr Faridah Idris
4. Susu Ibu Titisan Mutiara Bonda, Nazirah & Zaharah
5. Detik Kelahiran Si Permata Hati, Mazneera
6. Mengatasi Masalah Hamil & Kelahiran, Zuhriah
7. Soal Jawab Kehamilan, Dr Fauziah
8. Penjagaan Ibu Hamil Sebelum, Semasa, Sesudah & Pantang Larangnya, Pn Amina
9. Pedoman Amalan Ibu Mengandung, Nur Asyikin
10. Diari Hamil Menanti Detik Keindahan Bersama, Panduan Lengkap Kehamilan

Selain itu, saya juga selalu berbincang dengan doktor berkenaan kesihatan diri dan bayi di dalam kandungan pada setiap kali perjumpaan.

Alhamdulillah, kandungan kali ini saya tidak menghidap 'Diebetes' seperti kandungan keempat. Namun, saya masih berhadapan dengan HB yang rendah. Alhamdulillah, doktor sentiasa memberikan nasihat dan sokongan bagi mengatasi masalah ini.

Bagi ibu-ibu yang ingin mendapatkan buku Membesarkan Anak Hebat dengan Susu Ibu hasil tulisan Dr Faridah Idris dan buku Diari Hamil Menanti Detik Keindahan Bersama, Panduan Lengkap Kehamilan, boleh dapati di https://www.facebook.com/KedaiSerbanekaMama atau hubungi saya terus di 0136735893.









Khamis, 10 September 2015

Memikat Selera Anak Dengan Labu Manis

Teks & foto : Faridah Yusof




Bismillah.
Labu oh labu.
Labu yang biasa kita temui di pasar dikenali sebagai labu manis.
Labu adalah antara makanan kegemaran anak-anak saya. Memang tidak cukup nasi, bila saya masak lemak labu. Tambah telur goreng sahaja pun sudah cukup lauk untuk hari tersebut.
Pelbagai menu makanan boleh dihasilkan dari labu seperti masak lemak labu, kek labu, muffin labu, bengkang/ bingka labu, puding labu, cucur labu, bubur labu, donut labu, kuih keria labu, kerepek labu dan macam-macam lagi.
Labu mengandungi kandungan antioksida yang tinggi dan kaya dengan vitamin.

Labu yang direbus, dilenyek dan ditapis boleh diperkenalkan kepada anak kecil selepas usia 6 bulan ke atas. Tidak perlu dicampur gula atau garam. Boleh dicampur sedikit dengan susu ibu untuk mencairkan teksturnya. Pasti bayi anda gemar akan rasanya yang manis secara semulajadi.

Oleh kerana, labu yang kami beli agak besar saiznya, saya bercadang untuk membuat  bingka labu selain menu utama masak lemak labu.

Alhamdulillah, ada resepi yang ringkas dan mudah untuk bingka labu. Bahan-bahan lain juga ada di rumah.

Anak-anak sudah tidur, maka bolehlah saya menyediakan bingka labu untuk sarapan esok.

Resepi Bingka labu mudah
Bahan-bahan:

2 biji telur
2 cawan santan
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan susu pekat
1/2 sudu kecil garam
1 sudu teh vanila
2 sudu besar butter
2 cawan tepung gandum tanpa peluntur
2 cawan labu yg telah direbus dan dilecek.
Bijan putih dan hitam untuk hiasan.

Cara:
Satukan dan gaul sebati semua bahan kecuali labu.
Kisar dalam pengisar pun boleh.
(Untuk di rumah, santapan anak-anak, gaul dengan tangan sambil selawat dan doa-doa yang baik bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan)
Kemudian satukan labu. Kacau rata.
Tuang dalam loyang yang telah diminyakkan. Boleh gunakan loyang 8"/9" bulat. Kali ini saya guna loyang empat segi 10" x 10".
Bakar pada suhu 150c selama 1 jam atau hingga masak. Saya tambah masa untuk lebih garing atasnya.
Sudah sejuk, baru boleh potong. Selamat mencuba.

Sambil menunggu bingka labu masak, saya mahu siapkan 'schedule post' di Fanpage Kedai Serbaneka Mama.

Bau harum bingka yang sedang dibakar, mencucuk hidung. Tak sabar rasanya mahu makan.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah.

Rabu, 5 Ogos 2015

Anak Belum Pandai Membaca

Teks: Faridah Yusof

Anak kedua saya, Nur 'Aina Madihah, berumur 6 tahun, masih belum lancar membaca.

Di sekolah tadikanya, kaedah fonik digunakan untuk mengajar membaca, sama seperti saya mengajarnya di rumah.

Minggu lepas, saya berpeluang berbual dengan salah seorang guru di sekolahnya. Kami bertukar pandangan tentang perkembangan anak saya ini. Menurutnya, 'Aina sudah banyak peningkatan. Sudah boleh beralih ke buku seterusnya. Saya senyum sahaja dan ucap syukur di dalam hati. Berbeza pula ketika di rumah, tiada banyak peningkatan. Ada masanya lansung tidak mahu membaca.

Di rumah, setiap hari saya akan cuba mengajarnya membaca. Adakalanya tidak sampai pun 5 minit. Tiada paksaan. Jika dia sudah tidak mahu belajar membaca, saya tukarkan kepada aktiviti lain.

Buat anakanda Aina, Mama akan terus berusaha mencari aktiviti yang menarik perhatian 'Aina untuk belajar membaca. Harapan Mama agar 'Aina dapat membaca sebelum 'Aina memasuki alam persekolahan formal tahun hadapan.

Rabu, 24 Jun 2015

40

Teks: Faridah Yusof

1. Ajar Anak Kecil Mengaji
2. Ajar Anak Kecil Membaca Bahasa Melayu
3. Ajar Anak Kecil Membaca Bahasa Inggeris
4. Tips Anak Kecil Suka Mengaji
5. Tips Anak Kecil Suka Membaca
6. Bahan Bacaan Untuk Anak Kecil
7. Tips Mudah Membaca
8. Kaedah Berkesan Ajar Anak Kecil Membaca
9. Kemahiran dan Perkembangan Anak Ikut Umur
10. Kenapa Anak Tidak Minat Membaca?
11. Meransang Anak Kecil Minat Membaca
12. Anak Belajar Sambil Bermain
13. Permainan Untuk Anak
14. Kenapa Anak Perlu Bermain?
15. Tips Untuk Ibubapa Mengajar Anak Di Rumah
16. Tips Bantu Anak Lambat Membaca
17. Tips Ransang Anak Seronok Membaca
18. Kenali Potensi Anak-anak
19. Kaedah Berkesan Ajar Anak kecil Membaca
20. Masa Terbaik Untuk Mula Ajar Anak Membaca
21. Kenapa Anak Malas Membaca?
22. Kenapa Anak Tidak Mahu Membaca?
23. Bahan Bantu Mengajar Anak Membaca
24. Bilakah Umur Sesuai Anak Kecil Belajar Membaca?
25. Bacakan Buku Kepada Anak Kecil
26. Budaya Membaca Bermula Dari Rumah
27. Ajar Anak Istimewa Membaca
28. Buku-buku Yang Bagus Untuk Anak
29. Waktu Sesuai Untuk Anak Membaca
30. Anak Belajar Membaca
31. Ajar Membaca Kaedah Fonik
32. Apa Itu Fonik?
33. Mengapa Kaedah Fonik Berkesan?
34. Anak Membaca Dan Menulis
35. Anak dan Buku
36. Mengapa Mahu Anak Membaca Awal?
37. Untuk Apa Anak Membaca?
38. Bila Anak Seronok Membaca.
39. Membudayakan Tabiat Membaca
40. Tips Untuk Anak Terus Membaca Hingga Dewasa

Khamis, 18 Jun 2015

Anak dan Puasa

Teks: Faridah Yusof
Bismillah.
Alhamdulillah.
Berpeluang lagi untuk bertemu 1 Ramadan pada tahun ini.
Beberapa hari dan minggu sebelum Ramadan, sudah dicanangkan pada anak-anak tentang kedatangan Ramadan. Tiada sarapan, makan tengahari atau minum petang seperti selalu.
Alhamdulillah, cubaan anak untuk berpuasa satu hari penuh dapat dilaksanakan. Namun yang lucunya, soalan yang kerap ditanya, pukul berapa boleh minum dan makan? lambat lagi ke boleh makan? lagi berapa minit boleh minum?
Kasihan juga. Terus saya hadiahkan sebuah buku cerita kepadanya. Lupa sebentar tentang waktu berbuka.
Semasa berbuka, untuk meningkatkan semangatnya, saya puji usahanya berpuasa penuh hari ini. Dia minum dengan bersungguh-sungguh air susu kurma kegemarannya.
Alhamdulillah. Semoga anakanda istiqamah dan berusaha lagi esok. Aamiin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...