Selasa, 27 Disember 2016

Mencari Positif, Ceria dan Bahagia

Teks : Faridah Yusof

Agak lama juga blog ini tidak dikemaskini. Rindu sangat mahu menulis. Alhamdulillah, hari ini ada semangat yang membara setelah membaca 'posting' di facebook beberapa orang suri dari ABDR tentang blog. Aduhai, semangat yang membara. Mohon kekal membara sehingga terbit hasil penulisan yang pertama. (Azam 2017)

Hari ini sendiri, saya begitu aktif ke sana ke mari. Bawa anak ke klinik kesihatan ibu dan anak. Ramai juga para ibu di klinik tadi.

Kemudian, berjumpa rakan niaga emas, ambil gold bar yang dipesan oleh pelanggan. Selepas itu selesaikan urusan poslaju. Mujur agen poslaju dekat di rumah. Saya hanya jalan kaki ke kedai agen.

Balik rumah, anakanda Daniyal sudah menunggu. Dari tadi mahu menyusu agaknya. Airmata ada lagi di kelopak mata. Aduhai anak, mama juga tidak rela berjauhan lama dengan anakanda. Secepat kilat buat kerja. Tiada lengah-lengah atau lenggang kangkung.

Alhamdulillah, petang ini ada kesempatan mahu menjengah blog. Suami bawa anak-anak jalan-jalan sekejap.

Begitulah tugas ibu di rumah. Tugas tidak pernah habis. Penat lelah usah dipeduli. Urus emosi sebaiknya. Buat sehabis baik.

Lihat dan fokus matlamat utama. Mahu mencari redha Yang Maha Esa. Ingat sahaja Allah sentiasa Melihat. Ingat sahaja Malaikat tidak pernah tertidur dari mencatat segala amal perbuatan. Ada Malaikat yang tidak pernah terlewat atau terlupa mencabut nyawa. Itulah motivasi untuk kekal positif, ceria dan bahagiasebagai ibu bekerja di rumah atau sesiapa sahaja.

Wallahu'alam.

Sabtu, 10 Disember 2016

Meraikan bonda berangkat menunaikan Umrah

Teks: Faridah Yusof

Pada tengahari Selasa yang lalu, kami adik beradik bersama pasangan dan anak-anak menemani emak di KLIA sebelum berangkat menunaikan ibadah Umrah di Mekah. Suasana di ruang daftar masuk KLIA agak sibuk pada waktu tersebut.

Ada banyak kumpulan rombongan jemaah yang bakal terbang umtuk menunaikan umrah. Dapat lihat banyak bagasi sedang diurus untuk daftar masuk. Ada bermacam-macam warna mengikut agen atau syarikat yang menguruskan para jemaah. Ada bagasi yang berwarna biru muda,  ada yang berwarna merah hitam, ada juga ungu dan ada yang hijau.

Turut memeriahkan suasana adalah ahli keluarga dari yang masih kecil hingga yang dewasa. Semua meraikan bakal jemaah umrah. Tenang dan penuh harapan wajah para bakal jemaah. Sejuk hati melihatnya.

Kapal terbang bonda kami dijadualkan berlepas ke Dubai pada jam 7.20 malam bersama penerbangan Emirates. Jam 6.30 petang, pihak agensi JAD Travel and Tours sudah memaklumkan supaya rombongan jemaah mesti sudah berkumpul untuk ke balai berlepas. Kami berpuas hati dan menyaksikan sendiri cara kerja pihak JAD Travels and Tours, teratur dan memuaskan.

Kami semua ambil peluang bersalaman dengan para jemaah berhampiran bonda. Bersalam dengan bonda dan mengucup pipi bonda. Ada rasa sebak dan air mata mula bergenang. Hanya doa dan penyerahan kepada yang Esa agar bonda kami sentiasa dalam jagaanNya. Semoga Allah berikan kesihatan, kesejahteraan dan kemudahan sepanjang berada di sana.

Apabila bayang bonda sudah tidak kelihatan, kami menuju pula ke Anjung Tinjau. Melihat deretan pesawat penerbangan yang bersusun di parkir masing-masing. Juga melihat keretapi yang membawa para penumpang pesawat ke balai berlepas. Anak-anak begitu seronok melihat ada kapal terbang yang mahu mendarat dan ada yang mahu berlepas. Pengalaman baru bagi anak ketiga dan keempat. Yang sulung dan kedua biasa menyaksikan suasana begitu semasa kami menetap di Kota Kinabalu, Sabah. Bila rindu mahu pulang ke kampung, aktivitinya melihat kapal terbang turun naik di Tanjung Aru.

Baru 30 minit bonda berlalu, kami semua sudah rindu. Hanya doa dan harapan agar bonda sejahtera selalu.

Sabtu, 10 September 2016

Balik Kampung

Teks: Faridah Yusof

Beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya 'Aidiladha. Pasti ramai yang mengambil peluang untuk berhari raya di kampung. Termasuklah kami.

Setiap kali mahu balik kampung, perkara yang mencabar adalah untuk mengemas beg pakaian dan barang-barang keperluan. Saya suka mengemas pada awal pagi, lebih tenang kerana tiada gangguan. Namun, ada juga waktunya, terbabas masa. Maka, terpaksalah saya mengemas dengan anak-anak aktif. Memang huru-hara. Beg balik kampung dijadikan sampan dan tempat bermain. Baju yang sudah diasingkan, di campur semula. Proses mengemas menjadi lebih panjang.

Walau bagaimanapun, untuk mengelakkan ada barang yang tertinggal, saya pasti menulis senarai semak. Jadi mudah untuk saya untuk membuat semakan barang-barang yang perlu disediakan.
Antara barangan yang kami mesti bawa setiap kali pulang ke kampung ialah Mesin Ionizer Kangen. Mudah dibawa dengan memasukkannya ke dalam kotak. Selain itu, buku-buku bacaan dan buku menconteng anak tidak dilupakan.

Saya ambil kesempatan untuk ucapkan selamat pulang ke kampung buat sahabat-sahabat. Semoga kita semua dapat manfaatkan masa bersama keluarga dan sanak saudara dan mengeratkan silaturrahim. Banyakkan berdoa di sepanjang perjalanan kerana antara doa yang mustajab adalah doa ketika bermusafir.

Jumaat, 9 September 2016

Kelebihan Mengajar Sendiri Anak Membaca Di Rumah.

Teks: Faridah Yusof

Mengajar anak kecil membaca di rumah ada cabarannya. Namun, ibu atau ayah yang mengajar anak mereka di rumah mempunyai kelebihan tersendiri.

1. Ibu atau ayah lebih mengenali anak.

Ibu atau ayah tentunya lebih memahami corak atau cara belajar anak. Adakah anak jenis aktif, pasif, mudah belajar dari lagu atau video, suka pergerakan dan sebagainya. Dengan mengetahui corak atau cara belajar anak, ibu atau ayah dapat memberikan dorongan atau sokongan yang sewajarnya kepada anak dalam membantu mereka belajar membaca.

2.  Fokus pembelajaran kepada anak sahaja.

Berbanding di sekolah, guru perlu mengajar kepada ramai murid. Manakala di rumah, ibu atau ayah boleh memberi tumpuan dan fokus kepada anak. Pembelajaran juga dapat disesuaikan mengikut keadaan anak pada waktu itu. Sebagai contoh, jika anak kelihatan penat, maka sesi membaca dipendekkan dan boleh disambung semula esok. Sebaliknya, jika anak bersemangat untuk membaca berikan mereka peluang dan sokongan untuk mereka terus membaca. Walau bagaimanapun, pembelajaran yang santai dan bersahaja di rumah dapat dilaksanakan setiap hari dalam tempoh yang singkat tetapi berterusan adalah lebih baik.

3. Memberi contoh yang baik kepada adik beradik yang di bawahnya.

Sekiranya kakak atau abang belajar membaca di rumah, adik di bawah mereka pasti teruja untuk mengikut dan meniru aksi kakak atau abang mereka. Sambil ibu atau ayah mengajar anak membaca, adik yang masih kecil juga memasang telinga dan memerhati. Apabila, tiba usia yang sesuai untuk mereka belajar membaca, mereka selalunya lebih mudah membaca.


Khamis, 8 September 2016

5 Tips Atasi Hilang Sabar Terhadap Anak.

Teks: Faridah Yusof

Apabila anak buat sesuatu yang menyebabkan kita sebagai ibubapa  geram dan hilang sabar,  tips berikut boleh digunakan:

1. Duduk dan tarik nafas dalam - dalam.  Segera istighfar sebanyak-banyaknya. Tenangkan diri dan jadi cool sehabis boleh. Bayangkan muka kita lebih cantik atau kacak apabila kita tenang dan cool.

2. Kenang kembali zaman kita semasa usia anak. Kita juga belum matang  pada usia seperti mereka. Kenangkan juga ayah dan ibu yang sabar mendidik kita. Entah-entah,  perangai kita lagi teruk dari perangai anak kita. Hehehe.

3. Cepat - cepat lihat gambar-gambar anak semasa mereka bayi. Aduhai,  pastinya comel dan buat kita tersenyum melihat gambar mereka. Hilang rasa mahu marah.  Muncul rasa kasih dan sayang. Boleh jadi, kerana didikan atau kesilapan kita juga yang menyebabkan anak bersikap begitu. 

4. Sentiasa beri maaf dan tunjuk ajar. Mendidik anak-anak adalah proses yang berterusan. Anak-anak memerlukan kita sebagai contoh dan tauladan paling dekat.

5. Lihat segala yang baik dan positif pada anak. Cuba kenang sesuatu yang baik tentang anak. Pasti ada. Besarkan kebaikan itu berbanding kekurangan atau kelemahannya.

Khamis, 28 Julai 2016

Resepi Masakan Yang Sedap

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Selepas makan malam, seorang anak berkata kepada ibunya.
Anak: Mama, sedap betul lauk telur yang mama masak. Jiha tambah banyak kali. Mama mesti masak dengan dua bahan utama kan?
Mama: Err...apa bahannya tu? (Dalam kepala ibunya, ye ke sedap sangat. Telur goreng masak dengan tomato je pun)
Anak: Mesti mama masak dengan dua bahan utama ni, kasih sayang dan keikhlasan kan?
Mama: Mana, Jiha tahu?
Anak: Jiha baca dalam buku cerita ni. (sambil menunjukkan muka surat yang sedang dibacanya).
Nota: Galakkan anak membaca. Ini dapat menambah perbendaharaan kata dan mereka akan mengaitkan dengan kehidupan mereka.

Selasa, 19 Julai 2016

Anak Disleksia?

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Anak kecil berumur 7 tahun yang belum boleh membaca, menulis huruf atau nombor terbalik bukan anak yang kurang pintar. Selalu di sekolah, mereka memang agak ketinggalan berbanding rakan sebaya mereka. Tidak semua guru di sekolah mempunyai kefahaman tentang masalah ini.
Mereka selalu disalahertikan sebagai kurang cerdik, malas membaca dan sebagainya. Dan akhirnya mereka kurang keyakinan diri.
Mereka sebenarnya perlu sokongan ibubapa, guru dan kaedah pembelajaran yang sesuai. Ibubapa dan guru perlu sabar dan 'cool'. Berikan mereka masa dan ruang. Memang perlahan tetapi InsyaAllah mereka boleh dibantu.
Fokus pada perkara positif dan keistimewaan mereka. Mereka juga berpeluang untuk berjaya.
Nota: anak kedua saya mempunyai ciri-ciri disleksia. Masih dalam rujukan klinik Doktor Pakar di hospital.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...