Jumaat, 7 September 2018

Mencuba Resepi Kek Fruit Pastry Yang Viral

Teks: Faridah Yusof

Beberapa hari yang lalu, banyak kali melintas di Facebook tentang Kek Fruit Pastry. Viral sungguh. Memang kelihatan menarik dan mengiurkan buah-buahan citrus seperti strawberry, peach, blueberry, plum di bahagian atas kek.

Ada post yang beserta resepi. Timbul keinginan mahu mencuba kerana tidak terlalu rumit cara menyediakannya.

Ini resepi dari Facebook seorang rakan. Resepinya juga diambil dari sahabatnya.

Resepi terbaik dari chef Ainie Syeema ... wajib cuba tau gerenti puas hati. ini knisa dah taip resepinya selamat mencuba
Resepi Fruits Pastry Cake
100gm butter (knisa guna salted) tak lembik tak keras sedang2 saje
160gm gula kastor
100gm sour cream (knisa guna 120gm)
3 biji telor
1 tsp vanila essence
1 tsp parutan lemon (akak guna 1 sudu besar)
210gm tepung gandum ayak
1 tsp baking powder ayak bersama
buahan2 citrus - strawberry, peach, plum, blueberry, kiwi - basuh bersih
caranya
1. Pukul butter dan gula kastor sehingga creamy (bertukar warna putih)
2. Masukkan telor satu persatu pukul sehingga sebati sahaja tak perlu lama
3. Masukkan pula vanila essence dan parutan lemon kacau lagi guna spatula sahaja
4. Tepung gandum yang telah diayak bersama baking powder dimasukkan sedikit demi sedikit guna spatula kaup balik sahaja sehingga sebati dan akhir sekali baru masukkan sour cream dan kacau sebati.. tuang ke atas loyang 8 inci yang telah diglis dan dilapik dgn parchment paper.
5. sebelum tu panaskan oven api atas bawah suhu 160c selama 15 minit
6. Bakar lebih kurang 45 minit.. (akak bakar dlm 60 minit) boleh test dgn cucuk lidi pada kek.
7. kek dah sejuk boleh tabur snow powder atasnya.
Tadi, suami maklumkan mak, apok dan adik ipar akan datang ke rumah esok dan mahu berkelah di Teluk Batik. Yeah. Bolehlah buat kek ini sebagai pemanis mulut sambil berkelah. 

Khamis, 6 September 2018

Emak Sudah Pulang dari Mekah.

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Mak telah selamat sampai di Melaka semalam. Syukur, akhirnya mak selesai menunaikan ibadah Haji pada tahun ini.

Syukur tidak terhingga kepada Allah kerana merealisasikan impian emak dan kami adik beradik. Walaupun pada awalnya emak berkemungkinan besar tidak dapat menunaikan ibdah haji pada tahun ini di atas masalah kesihatan.

Doktor suspek kanser ataupun TB. Alhamdulillah, setelah menjalani penilaian dan pemeriksaan doktor, akhirnya emak disahkan tiada sel kanser atau TB. Penyakit emak dirujuk sebagai 'chronic lung diseases'.

Adik kelima yang berkerja sebagai jururawat, bila melihat dokumen x-ray paru-paru emak, dia sendiri berkata memang agak teruk keadaan paru-paru emak.

Kami merelakan pemergian emak dengan perasaan yang berbaur. Sedih walau gembira emak dapat menunaikan haji. Hanya kepada Allah kami serahkan segalanya. Hanya mampu berdoa dari jauh. Mudah-mudahan segala urusan ibadah mak berjalan lancar dan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Kerap kali sepanjang emak di Madinah dan Mekah, ada adik yang menghubungi emak samada melalui Whatsapp atau video call dan akan memaklumkan adik-beradik lain di dalam group Whatsapp adik beradik. Saya kira nikmat ini sangat besar berbanding para jemaah haji pada 20/30 tahun dahulu. Bukan mudah dapat terus berhubung dan bertanya khabar dari kejauhan. Alhamdulillah.

Rindu nak balik Melaka untuk berjumpa emak dan mendengar pengalaman mak menunaikan ibadah haji. InsyaAllah, semoga Allah beri keizinan dan kemudahan. Anak emak yang sulung ini jauh di Perak dan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Rabu, 5 September 2018

BIla Si Kecil Cirit Birit

Tek: Faridah Yusof

Kasihan tatkala melihat anak yang kecil merengek kesakitan.

"Sakit perut, mama".

Malam tadi, katanya ayahnya sudah buang air besar. Cirit. Habis bantal dan tilam terkena najis. Maka pagi ini, tugas membersihkan bertambah.

Beri dia minum madu dan air suam, sapu minyak di perut. Nampak dia tenang. Peluk dan cium, serta mendoakan dia dikurniakan kesembuhan dan kesihatan oleh Allah.

Waktu anak kurang sihat, memang mereka lebih manja dan mahu mendekat dengan ibunya sahaja. Jadi, ibu mengalah beri penuh perhatian dan masa kepada si anak.

Buat kerja yang boleh duduk di sekitar anak. Membaca, membalas pertanyaan pelanggan di telefon dan post iklan dan maklumat walau terpaksa berhenti banyak kali.

Bila dia tidur, dengan pantas menyelesaikan tugas yang lain.

Tabahlah duhai ibu, ada pahala ibadah bagi pekerjaanmu yang kau niatkan kerana Allah. Dia yang tidak pernah tidur melihat segala usahamu. Ini dugaan kecil buatmu.

Semoga sihat sejahtera hendak-Nya. Aamiin.

Selasa, 4 September 2018

'Me Time' di Petang Hari

Teks: Faridah Yusof

Petang-petang selepas selesai kelas membaca, jika tiada urusan lain, saya akan menyertai sembang petang bersama jiran.

Saya kira ini salah satu sesi 'me time' saya.

Seronok dapat duduk berkumpul berbual dan berkongsi cerita. Yang penting bukan cerita hal orang atau membawang.

Selalunya ada tips-tips, petua dan kisah pengalaman diri yang dikongsikan oleh sahabat jiran yang lebih veteren dan berpengalaman.

Juga ada cerita tentang menu masakan. Ini memang seronok. Lain negeri lain cara memasak atau penyediaannya.

Ada kisah-kisah lucu dan kelakar yang cukup menghiburkan.

Biasanya bila nampak sudah mahu gelap, masing-masing beransur pulang ke rumah masing-masing.

Isnin, 3 September 2018

Ajak Anak Belajar Kitar Semula Kertas

Teks: Faridah Yusof

Di rumah ini, kertas memang banyak digunakan. Kertas putih untuk melukis, mewarna, menconteng. Kertas berwarna untuk buat kraf, origami. Kertas surat khabar dan pamplet iklan yang selalu dapat di peti surat untuk aktiviti menggunting. Jadi, memang banyak kertas. Itu belum masuk buku tulis, buku yang koyak dan sudah rosak.

Jadi kami memang kumpul dan jual kepada lori yang selalu lalu di depan rumah. Campur lagi barang-barang kitar semula yang lain, ada masa dapat RM 15, ada juga dapat RM 20. Pernah juga dapat RM 48.

Baru-baru ini, lori yang selalu beli barangan kitar semula tu, asing-asingkan kertas dari satu plastik besar yang kami bagi. Saya perhatikan sahaja. Akhirnya dia kata, kalau hantar terus satu plastik macam ini ke tempat kitar semula, mereka tidak ambil. Itu sebab mereka asing-asingkan.

Dari situ, saya belajar. Ada beberapa kategori untuk asingkan. Jadi, untuk kumpul kertas seterusnya, saya tulis pada plastik untuk letak kertas yang sudah tidak dipakai lagi mengikut kategori.

1. Kertas putih
2. Kertas berwarna
3. Kertas Surat khabar
4. Buku koyak/rosak
5. Kotak

Saya tunjukkan kepada anak-anak supaya mereka tahu plastik yang mana satu untuk masukkan kertas yang mahu dikitar semula.

Ahad, 2 September 2018

Tempah Penanda Buku Dari Anak

Teks: Faridah Yusof

Apabila seorang ibu membaca buku sambil melayan anak, memang selalu terpaksa berhenti-henti membaca. Baru nak sambung baca, anak mahu itu dan ini. Jadi, berhentilah sekejap.

Membaca buku sendiri, saya lipat sahaja di hujung muka surat. Tapi bila baca buku yang dipinjam dari perpusatakaan, rasa bersalah pula nak lipat.

Biasanya saya akan guna penanda buku. Kebanyakan penanda buku yang saya ada pula jenis sekeping yang menegak. Jadi selalu juga penanda buku itu tercicir dari muka surat yang dibaca. Hmm.

Satu hari tu, kami tengok vedio klip kraf untuk penanda buku dari kertas. Lipat-lipat jadi penanda buku yang boleh disangkut pada hujung buku. Nampak lebih best dari penanda buku yang tegak biasa tu.

Anak yang sulung memang suka kraf yang guna kerats dan lipat-lipat macam origami. Dia tengok dan cuba buat. Menjadi. Maka saya pun menempahlah dengan anak. Murah je dia jual. Satu dua puluh sen sahaja. Alhamdulillah.



Sabtu, 1 September 2018

Selamat Datang September

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Hari ini sudah 1 September 2018.

Katanya sudah bermula SST menggantikan GST. Macam-macam yang diperkatakan oleh rakan facebook. Tapi, nak turut berbincang, diri sendiri pun belum sempat hadam isu SST ini. YAng pasti, semalam terbaca di satu post fb, buku tidak dikenakan SST. Alhamdulillah.

Tinggal 3 bulan menuju 2019. Impian untuk menulis masih membara. Masih berusaha.

Sedar diri tidak banyak ilmu dan kemahiran dalam bidang penulisan. Pengalaman juga tiada. Hanya kepada Allah tempat memohon. Mudah-mudahan Allah perkenankan hajat yang satu ini. Aamiin.

Tadi sempat singgah ke kedai buku semasa menemani suami ke pasaraya AEON. Puas rasa dapat menatap dan membaca tajuk dan sinopsis buku-buku baru. Membakar semangat untuk menulis. Walaupun tidak membeli sebarang buku, jiwa rasa ceria dan bahagia berada di antara celah-celah rak buku. Mengumpul semangat dan motivasi untuk turut berusaha. InsyaAllah.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...