Sabtu, 10 September 2016

Balik Kampung

Teks: Faridah Yusof

Beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya 'Aidiladha. Pasti ramai yang mengambil peluang untuk berhari raya di kampung. Termasuklah kami.

Setiap kali mahu balik kampung, perkara yang mencabar adalah untuk mengemas beg pakaian dan barang-barang keperluan. Saya suka mengemas pada awal pagi, lebih tenang kerana tiada gangguan. Namun, ada juga waktunya, terbabas masa. Maka, terpaksalah saya mengemas dengan anak-anak aktif. Memang huru-hara. Beg balik kampung dijadikan sampan dan tempat bermain. Baju yang sudah diasingkan, di campur semula. Proses mengemas menjadi lebih panjang.

Walau bagaimanapun, untuk mengelakkan ada barang yang tertinggal, saya pasti menulis senarai semak. Jadi mudah untuk saya untuk membuat semakan barang-barang yang perlu disediakan.
Antara barangan yang kami mesti bawa setiap kali pulang ke kampung ialah Mesin Ionizer Kangen. Mudah dibawa dengan memasukkannya ke dalam kotak. Selain itu, buku-buku bacaan dan buku menconteng anak tidak dilupakan.

Saya ambil kesempatan untuk ucapkan selamat pulang ke kampung buat sahabat-sahabat. Semoga kita semua dapat manfaatkan masa bersama keluarga dan sanak saudara dan mengeratkan silaturrahim. Banyakkan berdoa di sepanjang perjalanan kerana antara doa yang mustajab adalah doa ketika bermusafir.

Jumaat, 9 September 2016

Kelebihan Mengajar Sendiri Anak Membaca Di Rumah.

Teks: Faridah Yusof

Mengajar anak kecil membaca di rumah ada cabarannya. Namun, ibu atau ayah yang mengajar anak mereka di rumah mempunyai kelebihan tersendiri.

1. Ibu atau ayah lebih mengenali anak.

Ibu atau ayah tentunya lebih memahami corak atau cara belajar anak. Adakah anak jenis aktif, pasif, mudah belajar dari lagu atau video, suka pergerakan dan sebagainya. Dengan mengetahui corak atau cara belajar anak, ibu atau ayah dapat memberikan dorongan atau sokongan yang sewajarnya kepada anak dalam membantu mereka belajar membaca.

2.  Fokus pembelajaran kepada anak sahaja.

Berbanding di sekolah, guru perlu mengajar kepada ramai murid. Manakala di rumah, ibu atau ayah boleh memberi tumpuan dan fokus kepada anak. Pembelajaran juga dapat disesuaikan mengikut keadaan anak pada waktu itu. Sebagai contoh, jika anak kelihatan penat, maka sesi membaca dipendekkan dan boleh disambung semula esok. Sebaliknya, jika anak bersemangat untuk membaca berikan mereka peluang dan sokongan untuk mereka terus membaca. Walau bagaimanapun, pembelajaran yang santai dan bersahaja di rumah dapat dilaksanakan setiap hari dalam tempoh yang singkat tetapi berterusan adalah lebih baik.

3. Memberi contoh yang baik kepada adik beradik yang di bawahnya.

Sekiranya kakak atau abang belajar membaca di rumah, adik di bawah mereka pasti teruja untuk mengikut dan meniru aksi kakak atau abang mereka. Sambil ibu atau ayah mengajar anak membaca, adik yang masih kecil juga memasang telinga dan memerhati. Apabila, tiba usia yang sesuai untuk mereka belajar membaca, mereka selalunya lebih mudah membaca.


Khamis, 8 September 2016

5 Tips Atasi Hilang Sabar Terhadap Anak.

Teks: Faridah Yusof

Apabila anak buat sesuatu yang menyebabkan kita sebagai ibubapa  geram dan hilang sabar,  tips berikut boleh digunakan:

1. Duduk dan tarik nafas dalam - dalam.  Segera istighfar sebanyak-banyaknya. Tenangkan diri dan jadi cool sehabis boleh. Bayangkan muka kita lebih cantik atau kacak apabila kita tenang dan cool.

2. Kenang kembali zaman kita semasa usia anak. Kita juga belum matang  pada usia seperti mereka. Kenangkan juga ayah dan ibu yang sabar mendidik kita. Entah-entah,  perangai kita lagi teruk dari perangai anak kita. Hehehe.

3. Cepat - cepat lihat gambar-gambar anak semasa mereka bayi. Aduhai,  pastinya comel dan buat kita tersenyum melihat gambar mereka. Hilang rasa mahu marah.  Muncul rasa kasih dan sayang. Boleh jadi, kerana didikan atau kesilapan kita juga yang menyebabkan anak bersikap begitu. 

4. Sentiasa beri maaf dan tunjuk ajar. Mendidik anak-anak adalah proses yang berterusan. Anak-anak memerlukan kita sebagai contoh dan tauladan paling dekat.

5. Lihat segala yang baik dan positif pada anak. Cuba kenang sesuatu yang baik tentang anak. Pasti ada. Besarkan kebaikan itu berbanding kekurangan atau kelemahannya.

Khamis, 28 Julai 2016

Resepi Masakan Yang Sedap

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Selepas makan malam, seorang anak berkata kepada ibunya.
Anak: Mama, sedap betul lauk telur yang mama masak. Jiha tambah banyak kali. Mama mesti masak dengan dua bahan utama kan?
Mama: Err...apa bahannya tu? (Dalam kepala ibunya, ye ke sedap sangat. Telur goreng masak dengan tomato je pun)
Anak: Mesti mama masak dengan dua bahan utama ni, kasih sayang dan keikhlasan kan?
Mama: Mana, Jiha tahu?
Anak: Jiha baca dalam buku cerita ni. (sambil menunjukkan muka surat yang sedang dibacanya).
Nota: Galakkan anak membaca. Ini dapat menambah perbendaharaan kata dan mereka akan mengaitkan dengan kehidupan mereka.

Selasa, 19 Julai 2016

Anak Disleksia?

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Anak kecil berumur 7 tahun yang belum boleh membaca, menulis huruf atau nombor terbalik bukan anak yang kurang pintar. Selalu di sekolah, mereka memang agak ketinggalan berbanding rakan sebaya mereka. Tidak semua guru di sekolah mempunyai kefahaman tentang masalah ini.
Mereka selalu disalahertikan sebagai kurang cerdik, malas membaca dan sebagainya. Dan akhirnya mereka kurang keyakinan diri.
Mereka sebenarnya perlu sokongan ibubapa, guru dan kaedah pembelajaran yang sesuai. Ibubapa dan guru perlu sabar dan 'cool'. Berikan mereka masa dan ruang. Memang perlahan tetapi InsyaAllah mereka boleh dibantu.
Fokus pada perkara positif dan keistimewaan mereka. Mereka juga berpeluang untuk berjaya.
Nota: anak kedua saya mempunyai ciri-ciri disleksia. Masih dalam rujukan klinik Doktor Pakar di hospital.

Khamis, 14 Julai 2016

Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 3

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Pada entri Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 2 , saya ada menulis tentang pendidikan awal bagi anak-anak pada usia 0-6 bulan pertama kehidupan mereka.

Bagaimana pula pendidikan awal pada 6 bulan kedua?

Anak-anak pada usia 6-12 bulan
 

Pada 6 bulan kedua, anak-anak kini mula meneroka persekitarannya, menambah kemahirannya secara semulajadi seperti belajar untuk duduk, merangkak, mencapai objek/ permainan.

Pada peringkat ini, motor halus anak juga berkembang. Mereka belajar memegang objek yang mereka temui dan mula memasukkan ke dalam mulut. Mereka mula menggunakan jari untuk memegang dan menghalakan ke dalam mulut. Selalu awasi anak pada usia begini. Pastikan juga lantai bersih dari objek-objek kecil atau kertas.

Selasa, 15 Disember 2015

PERKONGSIAN IBU ROSE TENTANG ANAK 2 TAHUN MENGINSAFKAN SAYA

Teks: Faridah Yusof

Perkongsian dari  'facebook page' Ibu Rose baru-baru ini memberi saya kesedaran dan keinsafan tentang seorang anak berusia 2 tahun.

Saya turut mengalami dan merasai pengalaman baru-baru ini dengan anak ketiga saya yang baru sahaja genap umurnya 2 tahun pada Ogos lalu.

Ya, ada tingkah lakunya membuatkan saya banyak berfikir, di mana silap saya atau suami dalam menunjuk contoh tauladan kepadanya. Adakah dia mahukan perhatian dan merasakan dia seperti yidak dipedulikan bila hadirnya adik baru.

Ya, dia mencampak telefon, menendang, memukul kepala, menarik rambut saya dan kakak-kakaknya. Adakalanya saya hampir hilang sabar dan sesekali termarah juga.

Ya, bila mahu mandi, jika di ajak secara biasa seperti dulu, dia tidak akan mandi. Tetapi bila diajak bermain mainan semasa mandi, dia dengan mudah mahu mandi.

Allahuakbar. Bila membaca perkongsian Ibu Rose ini, barulah saya rasa lega dan bersyukur.

Saya dan suami perlu lebih memahami dan menyelami dunia seorang anak berusia dua tahun.

Dari fbpage Ibu Rose

SELAMI DUNIA ANAK DUA TAHUN.

Ibu pernah share penulisan ini. Namun, Ibu share sekali lagi kerana ramai yang bertanya soalan mengenai anak berumur 2 tahun. Ibu kira ramai yang terlepas peluang membaca penulisan ini.
______________
SESUATU YANG AJAIB MENGENAI ANAK-ANAK 2 TAHUN INI...

Ada sesuatu mengenai anak berusia 2 tahun ni. Mereka hidup di dalam dunia mereka sendiri. Mereka belum betul-betul faham dunia orang dewasa.
Mereka nampak berakhlak buruk, campak barang, makan merata-rata, tendang dan jerit jika mereka tidak dapat apa yang mereka kehendaki.
Oleh itu bila orang dewasa tidak faham, mereka menuduh anak-anak kecil yang belum faham dunia ini dengan perlbagai tuduhan kepada ibu bapa mereka. Malah ada juga ibu bapa yang kerana tidak ada ilmu mengenai perkembangan anak-anak marah berlebihan akan anak-anak ini.
Lantaran itu anak-anak ini semakin keliru dan semakin masuk ke dalam 'dunia' dia. Jadilah anak ini membesar dengan keadaan begitu walaupun sudah berusia 4-5 tahun masih di dalam dunia yang sepatutnya hanya untuk anak yang berusia 1.5 tahun - 3 tahun.
Fahamilah jika anak pada usia ini nampak macam berakhlak buruk...ingat itu bukan akhlak dia, itu adalah dia sedang mempelajari dunia dan bagaimana untuk berakhlak mulia.
Maka tunjukkan kepadanya dengan sabar. Jika dia menjerit, ambil tangan dan letak pada bibirnya memberi tanda tidak perlu menjerit. Jika ada masa bawa dia keluar untuk dia boleh bermain dan menjerit.
Jika dia makan bersepah, maka letakkan tempat yang membolehkan dia makan di kawasan itu sahaja. Letak di kerusi baby atau sepertinya.
Jika dia menendang, ambil lembut kakinya dan beritahu bahawa tidak perlu menendang jika mahukan sesuatu.
Ajar dia untuk mengatakan ya atau tidak. Dan belajarlah bertanya seperti meminta izin sebelum dia melakukan sesuatu kepadanya.
Contoh, jika mahu memandikan dia. Katakan, 'sayang mama nak mandikan sayang, ya' dan biar dia boleh memilih. Jika dia kata ya, maka bawalah dia mandi dengan gembira. Jika dia mengatakan 'no' maka teruskan pujuk dan buat sesuatu yang menarik dibilik mandi.
Bila anak-anak kecil ini sudah belajar mengatakan yes atau no, sebagai tanda mereka boleh memilih serta ibu bapa menghormati perasaannya, maka situasi anak-anak itu menjerit, menendang, makan bersepah dan sebagainya akan cepat berhenti dan anda akan melihat anak-anak 4-6 tahun yang mudah dibimbing.
via Web

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...