Rabu, 10 Oktober 2018

Hadiah Rak Buku Dari Kak Rai.

Teks: Faridah Yusof

Saya benar-benar keletihan selepas seharian memindahkan buku-buku di bilik bacaan dan ruang kerja saya.

Asalnya bilik ini adalah bilik untuk anak perempuan. Tetapi bilik ini agak panas. Jadi, kami tukarkan bilik mereka.

Alhamdulillah, semua mahu tolong mama angkat buku-buku, bekas permainan dan macam-macam lagi. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Ada dua rak buku yang dibawa ke bilik belakang. Satu besar dan satu kecil. Rak buku baru hadiah ala-ala Korea tu untuk buku-buku anak di bilik mereka.

Rak buku yang kecil itu menggamit kenangan lama. Ia hadiah dari sahabat semaktab dahulu, Kak Rai. Ia hadiah yang berusia kini 13 tahun. Dari Jasin, rak itu dibawa bersama semasa berpindah ke Sabah. Kemudian dibawa bersama berpindah ke Seri Manjung, Perak. Walau rak lain silih berganti, rak ini tetap utuh. MasyaAllah. Rak yang besar dibeli semasa di Sabah, kemudian  ke Seri Manjung pun sudah banyak rosaknya. Namun, insyaAllah, ia masih sudi menumpangkan buku-buku di sini.

Teringat kata-kata saya pada Kak Rai semasa dia menghadiahkan rak bukunya itu. InsyaAllah, saya akan jadikan rak ini sebahagian dari perpustakaan mini nanti. Alhamdulillah. Rak ini berjaya dijadikan sebahagian dari perpustakaan mini di rumah.

Selasa, 9 Oktober 2018

Aduhai 'Aina

Teks: Faridah Yusof

Sedang saya membaca, tiba-tiba 'Aina datang dan bertanya.

"Mama, macam ni ya baby dalam perut umur tujuh bulan ?"

Dia bawa bersama majalah lama saya, al-Ustaz tahun 2012. Ditunjukkan juga gambarajah illustrasi bayi dalam kandungan dari usia 1 bulan hingga 9 bulan.

"Ha'ah. Baby tujuh bulan, besar macam itulah di dalam perut."

Sejak si 'Aina ini tahu membaca, suka benar dia   memunggah majalah lama dan buku di sudut membaca di rumah ini. Tapi, mamanya ini yang pening lalat sebab dia boleh pula memilih buku yang berkaitan kehamilan, kelahiran dan bayi.

Aduhai 'Aina.

Walau bagaimanapun, syukur kerana dia sudah boleh membaca.

Sekarang saya mahu fokuskan kepada kemahiran lain yang dia perlu ada asasnya.

Isnin, 8 Oktober 2018

Emas, berapa banyak yang perlu disimpan?


Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Ramai wanita sudah mula celik emas. Tahniah. Emas kini tidak lagi menjadi sekadar perhiasan wanita.

Dari membeli dan mengumpul beg tangan, barangan kaca, tudung dan baju yang sudah bertimbun di rumah, lebih baik membeli emas sebagai simpanan dan pelaburan jangka masa panjang. Emas ada nilainya. Emas berjaya mengekang sikap boros kaum wanita yang suka membeli-belah.

Pelbagai cara dan strategi menyimpan emas. Ada yang berdikit-dikit mengumpul tunai. Ada yang terus membeli syiling emas seberat 0.5 gram atau 1gram apabila menerima gaji bulanan. Ada yang membeli barang kemas seperti cincin atau subang yang ringan. Biasa dalam berat 2 gram ke bawah. Mengikut bajet masing-masing. Ada juga yang terus menukarkan bonus ke dalam bentuk emas yang lebih berat gramnya.

Ada yang baru berjinak dan masih belum jelas akan objektif menyimpan emas tetapi sudah ada kesedaran. itu sudah cukup baik. Teruslah menimba dan menambah ilmu.

Di antara soalan yang ditanya.

"Berapa banyak nak simpan emas?"

Secara asasnya, perlu jelas di dalam diri kenapa mahu membeli emas dan menyimpan emas?

Sekiranya sudah cukup gramnya. Maka, emas tersebut boleh difungsikan di ar-rahnu atau dijual untuk mendapatkan tunai.

Boleh sahaja terus membeli emas dan hadiahkan pula kepada ibu, ayah atau anak mahupun saudara.

Ada juga yang menyimpan emas sehingga mampu untuk menunaikan ibadah zakat emas.

Ahad, 7 Oktober 2018

Me Time - Kelas Sempurna Solat

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Dapat hadir ke kelas sempurna solat lagi untuk bulan ini.

Kali ini ustaz masuk ke tajuk membaca ta'awuz.

Sebagai hamba, kita sangat memerlukan bantuan dan perlindungan dari Allah dari gangguan syaitan terutama sewaktu mendirikan solat.

Syaitan, makhluk ciptaan Allah yang kita tidak dapat lihat dengan mata kasar sentiasa berusaha dan tidak berputus asa menganggu dan mempengaruhi kita semua. Mereka akan berusaha menyesatkan manusia sehingga hari kiamat.

Hanya kepada Allah tempat kita semua memohon perlindungan. InsyaAllah dengan selalu membaca ta'awuz dan bismillah sebelum memulakan sebarang pekerjaan, kita dilindungi dan diberikan kebaikan oleh Allah.

Hendaklah kita  berdoa memohon perlindungan dari Allah daripada diganggu syaitan sebelum kita menunaikan solat serta diberikan kekhusyukan sepanjang bersolat. Berdoa tanda kita tidak sombong dengan Allah. Mengakui kita hamba yang lemah dan sangat memerlukan pertolongan-Nya.

Sabtu, 6 Oktober 2018

Menjadi Suri Celik Emas

Teks: Faridah Yusof

Sepanjang saya belajar tentang emas bermula dari tahun 2013, saya berkesempatan berkenalan dengan ramai suri yang celik emas. Syukur, alhamdulillah kerana ia membawa titik perubahan kepada sudut pandang saya tentang emas. Cara saya melihat emas juga berubah. Dari situ bermulanya kembara ilmu untuk belajar cara menabung emas dan memberi fungsi kepada emas.

MasyaAllah. Di kalangan mereka yang saya kenali ini, ada yang dahulunya bekerja makan gaji dan sekarang menjadi surirumah atau bekerja sendiri atau berniaga. Dan ada juga yang masih bekerja makan gaji.

Apa yang saya dapat pelajari dari suri-suri ini?

Suri-suri hebat ini mengajar saya untuk membeli emas dengan objektif yang jelas.

Membeli emas untuk apa? Untuk tabungan pendidikan anak-anak? Untuk persediaan deposit membeli aset seperti tanah atau rumah? Untuk pusingan modal bisnes? Untuk simpanan masa panjang.

Jika dahulu, emas hanya sebagai perhiasan wanita bagi diri saya. Kini, tidak lagi. Tidak memakai emas di jari, lengan atau leher bukan bermakna wanita itu tidak suka emas. Tetapi mungkin juga dia seoran g penyimpan emas yang tegar. Dia ada matlamat jelas dengan emas.

Apabila jelas objektif membeli dan menyimpan emas, ia buat kita tidak mudah melatah atau panik apabila melihat perubahan harga emas.

Selain itu, penting untuk tahu mahu beli jenis emas atau barang kemas yang sesuai untuk disimpan sebagai simpanan masa panjang atau difungsikan.




Jumaat, 5 Oktober 2018

Kejiranan Yang Suka Berkebun

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Kawasan kejiranan yang baru sahaja setahun kami duduki ini membawa aura yang positif dan sihat. Pagi-pagi udaranya segar dan menyihatkan mata dengan permandangan indah hijau tanaman dan warna-warni  bunga-bungaan. Syukur kepada Allah dikurniakan jiran-jiran yang suka memanfaatkan masa lapang dengan berkebun.

Kawasan perumahan ini jika rumah tengah memang tiada kawasan bertanah melainkan kawasan depan rumah. Itupun kecil sahaja. Jadi majoriti jiran menanam tanaman di dalam pasu.

Biasanya ada tanaman yang biasa digunakan di dalam masakan seperti daun kunyit, kucai, serai, pandan, kesom, daun kari, pudina, cili, limau purut dan lain-lain. Ada juga yang menanam sayuran seperti kobis, kailan, kangkung , bayam brazil dan sawi. Tidak kurang juga ulam-ulaman seperti ulam raja, pegaga, cekur dan gajus. Selain itu, tanaman lain juga ada seperti pokok tin, pokok bidara, pokok nilam, lidah buaya, inai, sireh, kaduk dan bermacam-macam lagi. MasyaAllah. Seronok dan bagaikan hilang segala maslaah melihat tanama-tanaman ini apatah lagi lihat kesegarannya di musim hujan sekarang.

Melihat tanaman-tanaman ini mengingatkan saya kepada kebasaran dan kekuasan Allah. Maha Suci Allah menjadikan pelbagai tanaman dan tumbuhan yang banyak untuk kegunaan manusia. Dihidupkan pula tanaman samada dari biji benih atau keratan batang. Melihat dedaun halus keluar dan semakin membesar setiap hari, jelaslah tiada daya dan kuasa kita untuk menumbuhkan tanaman melainkan Allah.

Ya, benar. Kita boleh berusaha dengan menggunakan tanah dan baja yang baik untuk memastikan tanaman yang kita tanam hidup subur. Namun  tiadalah kuasa yang dapat menghidupkan tumbuhan itu melainkan Allah.

Alhamdulillah. Hamba bersyukur dengan nikmat ini.

Khamis, 4 Oktober 2018

Rezeki Jambu Susu Dan Kuih Ala Boko Ubi Kayu

Teks: Faridah Yusof

Semalam ulangtahun kelahiran anak. Dia teringin mahu makan kek viral fruit pastry.

Setelah beli bahan, maka bersilatlah di dapur. Alhamdulillah dapat dua biji kek bulat bersaiz  8 inci.

Cadangannya mahu makan bersama-sama kawan sewaktu bermain petang nanti.

Balik dari sekolah jam 5.30 petang. Kami makan bersama-sama kek tersebut. Tiada lilin atau nyanyian lagu. Hanya potong kek dan makan beramai-ramai satu keluarga. Alhamdulillah. Memang tidak mahu terikut-ikut dengan budaya bukan Islam. Cukuplah sekadar mewujudkan rasa gembira dan syukur kepada anak pada ulangtahun kelahirannya.

Kemudian, dia potong kek lagi untuk makan bersama kawan-kawan bermain di waktu petang di hadapan rumah.

Saya pula mahu berkongsi sedikit dengan kawan berbual santai di waktu petang. Potong cantik-cantik letak dalam bekas plastik putih. Lepas kelas membaca, waktu me time bersama kawan-kawan.

MasyaAllah, jiran pula membalas kek tadi dengan kuih talam ubi kayu. Sedap bukan main. Saya pula rasa dah macam kuih boko ubi kayu yang saya idam-idamkan. Alhamdulillah. Jiran depan rumah pula beri jambu susu. Syukur, alhamdulillah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...