Ahad, 14 Julai 2013

Saat kesakitan melanda..saat terbaik untuk bermuhasabah....

Teks: Faridah Yusof

Bismillah

Sepanjang kehidupan yang kita lalui di dunia ini, pastinya kita diuji dengan kesakitan. Inilah hakikat kehidupan. Adakalanya kita sihat dan dapat melakukan pelbagai kerja atau aktiviti seharian dengan begitu cekap dan tangkas. Namun saat kesihatan diri terganggu, terasa diri begitu lemah dan tidak berdaya.

Bagi seorang ibu, banyak kerja-kerja rumah tergendala dan pastinya mengharapkan pasangan atau ahli keluarga dapat membantu menyiapkan tugas-tugas tersebut. Inilah waktu terbaik kita bermuhasabah dan merenung diri kita...renungi dan berfikirlah tentang kejadian diri kita...tentang pencipta kita..tentang dekatnya kita dengan saat kematian...betapa lemahnya diri kita. Pasti ada hikmah di sebalik ujian kesakitan itu.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang Muslim, kita harus meyakini ujian kesakitan itu datangnya dari Allah dan hanya Dia yang dapat memberi kesembuhan dan kesihatan. Kita cuma perlu berusaha untuk mendapatkan rawatan dan terus berdoa agar dikurniakan kesihatan yang terbaik.

Saat kita kesakitan, hanya kepada Allah tempat mengadu. Kita perlu banyak berdoa , beristigfar dan berzikir. Pada saat itu juga, anak-anak melihat bagaimana kita menghadapi kesakitan , bagaimana cara ayah atau ahli keluarga yang lain menghadapi atau melayan orang yang sakit. Ini juga waktu mendidik anak-anak agar turut mendoakan kesihatan buat orang yang sakit apatah lagi yang sedang sakit itu adalah ibu mereka. Tanamkan di minda anak-anak, sakit adalah ujian dari Allah agar kita sentiasa bersyukur dan menghargai kesihatan.

Semoga kita semua sentiasa berusaha untuk menjaga kesihatan dengan menjaga pemakanan dan gaya hidup kita. Bersyukurlah saat kita sihat dan bertenaga. Gunakanlah waktu sihat kita dengan banyak memberi manfaat. InsyaAllah sama-sama kita berusaha.


*** Lagu "Muhasabah Cinta" nyanyian EdCoustic begitu menyentuh hati...

Muhasabah Cinta

Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu
Tuhan... baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

sumber : http://liriknasyid.com




sumber video : http://www.youtube.com/watch?v=gE8OfuiUG5Y


Selasa, 9 Julai 2013

Mama, macamana nak tengok bapak bulan?

Teks : Faridah Yusof
Gambar : carian Google

Bismillah.

Semalam saya dan suami berbual tentang tempat mencerap hilal/anak bulan di Segari yang tidak jauh dari tempat kami. Tiba-tiba anak sulung kami bertanya.

" Mama, macamana nak tengok bapak bulan?"

Tersenyum saya dan suami mendengar soalan yang satu ini.

Kemudian barulah saya terangkan kepadanya..kita bukan tengok bapak bulan tapi kita tengok 'anak bulan'....Kita tengok anak bulan untuk tentukan samada kita akan berpuasa pada esok hari atau lusa....

Anak saya masih tidak berpuas hati ..kenapa tak tengok bapa bulan?

Nampaknya perlu penerangan yang lebih ni...

Sebenarnya...bulan yang kita tengok adalah bulan yang sama. Satu-satunya bulan yang kita lihat dari Bumi.

Bulan bukan ada emak atau bapa...(^_^)

Jadi, hari ini, saya buka internet dan tunjukkan kepadanya imej bulan, imej anak bulan/hilal....saya juga tunjukkan kepadanya bagaimana orang tengok anak bulan..Nampak dia sangat berminat.

Tiba-tiba dia kata  " Mama, malam ni Jiha nak tengok anak bulan."

Alahai, anak. Untuk tengok anak bulan/hilal perlu ada alat-alatnya..



 Fasa Bulan mengikut kedudukan Bulan dalam orbit mengelilingi Bumi.
Tengok hilal/anak bulan perlu alatnya
imej hilal/anak bulan


~Untuk baca tentang anak bulan/hilal..boleh baca di sini ...http://ms.wikipedia.org/wiki/Anak_bulan

~Keratan akhbar tentang penggunaan 'hilal' berbanding 'anak bulan' bagi mengelakkan kekeliruan boleh baca di sini ...http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2010090509223220100905092232/Article/index

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan...

Selamat Menjalani Ibadah Puasa semua..sama-sama kita merebut tawaran hebat dari Allah sepanjang bulan Ramadan ini...

Lagu Ramadan oleh Maher Zain versi Bahasa Melayu yang lebih menyentuh hati ...


Isnin, 8 Julai 2013

Marhaban Ya Ramadan

Teks : Faridah Yusof

Bismillah....

Sungguh hampir kita dengan Ramadan. Berdebar-debar di dalam hati ..adakah masih ada kesempatan untuk bertemu Ramadan pada tahun  ini? Setiap hari, pasti kita ada mendengar khabar tentang saudara seagama yang kembali ke rahmatullah sebelum tibanya Ramadan. Hanya doa dan harapan yang dapat dipanjatkan agar Allah beri kesempatan lagi untuk merasai keberkatan di bulan yang penuh barakah, keampunan dan rahmat ini...

Oh Ramadan yang dirindui saban tahun oleh seluruh umat Islam....Pastinya ada yang tidak sabar untuk bersahur, berpuasa, bertadarus, berbuka, bertarawih, berzakat fitrah, bersedekah dan sebagainya...Di dalamnya ada malam yang dicari........malam Lailatul Qadar..Semoga kita semua diberi kesempatan untuk merebut ganjaran hebat dari Allah sepanjang Ramadan kali ini..Aamin Ya Rabb...


Maher Zain - Ramadan | Arabic - ماهر زين - رمضان | النسخة العربية



Jumaat, 5 Julai 2013

Hari Jumaat Penuh Keberkatan

Teks dan foto: Faridah Yusof

Assalamu'alaikum wbt.

Selawat dan salam buat Nabi Muhammad SAW.

Salam Jumaat buat para pembaca.

Hari Jumaat adalah hari yang mulia bagi umat Islam.

Banyak saranan oleh para alim ulamak agar kita memperbanyakkan berdoa, bersedekah, berselawat, membaca Al-Quran dan berzikir pada hari Jumaat.



Kelebihan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat

Ayuh..sambil-sambil online, kita berzikir, beristighfar dan berselawat...boleh juga buka audio alunan bacaan merdu Al-Quran seperti surah Yaasin dan al-Kahfi..

Sama-sama kita amalkan..:)


Khamis, 4 Julai 2013

Dari Sepanggar ke Seri Manjung

Teks dan foto : Faridah Yusof

Assalamu'alaikum wbt buat para pembaca.

Cerita ini cerita empat bulan yang lalu..Tiba-tiba hari ini terimbas semula kenangan berada di Sabah dan saat-saat berpindah ke Perak.

Suami dapat bertukar tempat bertugas dari Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah ke Seri Manjung, Perak. Alhamdulillah urusan perpindahan telah dipermudahkanNya..Terima kasih Ya Allah kerana memakbulkan doa kami. Saya juga tidak mengalami masalah pertukaran sepertimana ketika kami mula-mula berpindah ke Sabah kerana sekarang saya bekerja sendiri. Alhamdulillah.


Saat berangkat dari Kota Kinabalu

Namun begitu, bagi seorang ibu yang sedang mengandung seperti saya, berpindah bukanlah sesuatu yang mudah. Memang keletihan. Banyak perkara perlu diselesaikan.

Agak sukar juga mencari rumah sewa di kawasan Manjung ni. Walaupun kawasan taman perumahan banyak namun, kebanyakan rumah telah didiami oleh penduduk setempat atau penyewa.

Setelah kami mendapat rumah untuk disewa, walaupun kecil dari rumah sewa di Sabah, kami tetap bersyukur, sekurang-kurangnya kami boleh mula merancang dan menyusun kehidupan baru di sini.


Anak-anak turut membantu

Kini empat bulan telah berlalu, masih banyak lagi kotak-kotak belum dibuka dan dikemas. Semoga saya dapat menguruskannya sebelum kelahiran bayi saya pada Ogos nanti.

Doakan saya berjaya..:)


Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 2

Teks dan foto : Faridah Yusof

Assalamu'alaikum wbt ,

Pada entri Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 1 , saya telah berkongsi dengan anda tentang bilakah usia emas anak-anak  dan cadangan amalan-amalan buat ibu mengandung dalam usaha untuk melahirkan anak yang sihat dan cerdas.

Bagaimana pula pendidikan awal bagi anak yang baru dilahirkan?


Setelah anak dilahirkan (0-6 bulan)




: : Setelah anak dilahirkan ke dunia, tiada ungkapan terbaik yang harus dilafazkan selain Alhamdulillah.. Segala Puji Hanya Bagi Allah...yang telah mengizinkan kita mempunyai anak ketika di dunia. Haruslah kita sedar bahawa anak ini bukan sekadar membawa kegembiraan buat kita dan pasangan serta seluruh ahli keluarga bahkan anak tersebut juga amanah untuk kita jaga dengan sebaik-baiknya.

: : Anak yang telah dilahirkan mestilah diberikan dan dipanggil dengan nama yang baik dan elok maknanya.

: : Menyusukan anak dengan susu ibu adalah pilihan yang terbaik. Berikan anak anda susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan. Kemudian perkenalkan dengan makanan yang baik, halal serta berkhasiat. Berusahalah melengkapkan penyusuan susu ibu selama 2 tahun. Pemakanan yang baik dan berkhasiat juga membantu perkembangan minda dan fizikal anak.

: : Berikan kasih sayang dengan mengusap, memeluk dan mencium anak. Kajian menunjukkan usapan dan belaian kepada bayi dapat memberi kesan fizikal, emosi dan kognitif yang positif kepada pertumbuhan dan perkembangan bayi.

: : Berbual-bual dan berceritalah kepada bayi. Aktiviti berbual dan bercerita kepada bayi boleh dilakukan secara santai ketika menyusukan bayi, memandikan bayi, menukar lampin atau pada bila-bila masa sahaja. Walaupun kelihatan seperti tidak memberi kesan kepada bayi kerana bayi belum pandai memberi respon atau berkata-kata, sebenarnya aktiviti ini membantu mendedahkan anak anda kepada perbendaharaan kata dan kecerdasan bahasanya.

: : Ransang penglihatan dan kordinasi mata anak dengan menggunakan kad imbas atau objek yang berwarna hitam dan putih atau merah. Perhatikan anak matanya bergerak mengikut pergerakan kad atau objek yang digerakkan.

: : Bacakan atau perdengarkan ayat-ayat Al-Quran, zikir dan selawat. Selain itu juga, ibu atau bapa juga boleh membacakan kepada anak cerita pendek ,berima dengan pelbagai intonasi dan suara. Aktiviti-aktiviti begini dapat membantu perkembangan auditori (pendengaran) serta membantu meningkatkan kecerdasan bahasa anak.

Selasa, 2 Julai 2013

Usia Emas Anak-anak Kita - Bahagian 1


Teks : Faridah Yusof
Sumber gambar : Google

Assalamu'alaikum wbt...

Apa khabar pengunjung dan pembaca Tips Pendidkan Awal Kanak-kanak ? Semoga kita semua sentiasa dalam hidayah dan rahmat Allah.

Apa khabar anak-anak kita hari ini? Semoga mereka juga sentiasa dalam hidayah dan rahmat Allah serta sentiasa melihat kita sebagai ibubapa yang menjadi contoh terbaik dalam kehidupan mereka.

Usia Emas Anak-anak

Tahukah anda bilakah usia emas anak-anak kita ?

Usia / masa keemasan anak-anak kita adalah masa- masa penting dalam kehidupan anak-anak yang tidak akan berulang lagi.. Ada terdapat beberapa pendapat dari pakar tentang usia /masa keemasan ini. Ada yang berpendapat usia/masa keemasan anak-anak ialah di antara 0-2 tahun, 0-3 tahun, 0-5 tahun atau 0-8 tahun. Namun secara umumnya, awal-awal tahun pertama kehidupan anak-anak adalah masa-masa emas mereka.

Pada masa-masa ini, otak anak-anak kita berkembang dengan sangat pesat. Otak dan minda anak-anak mampu untuk menyerap dan menyimpan pelbagai maklumat. Segala maklumat diserap dan menjadi input yang mampu mempengaruhi kehidupan mereka pada masa akan datang. Minda dan otak mereka juga perlu diransang untuk pertumbuhan dan perkembangan otak yang maksimum.

Ketika Anak  di dalam Kandungan

Oleh kerana itulah kita seringkali mendengar para ilmuan, pakar kanak-kanak, pakar motivasi dan sebagainya amat menitikberatkan penerapan nilai-nilai positif , kasih sayang dan nilai-nilai murni seawal mungkin iaitu seawal anak-anak di dalam kandungan. Ketika mengandung, para ibu sangat disarankan untuk menjaga kesihatan, emosi dan tingkah laku sebagai salah satu usaha untuk melahirkan anak yang sihat dan cerdas. Para bapa juga perlu memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan dan bantuan kepada para ibu dalam melalui tempoh 9 bulan yang penuh dengan cabaran.



Sewaktu mengandung antara perkara yang amat digalakkan untuk para ibu ialah :

~Menjaga waktu solat fardhu, sebaik-baiknya berusahalah untuk solat di awal waktu serta ditambah dengan amalan solat-solat sunat.

~ Menutup aurat dengan sempurna


~ Membaca dan memperdengarkan bacaan Al-Quran . Antara surah-surah Al-Quran yang sangat digalakkan adalah seperti berikut :

* Surah al Fatihah
* Surah at-Taubah
* Surah Yusuf
* Surah Maryam
* Surah Luqman
* Surah an-Nahl
* Surah Yassin
* Ayat Kursi
* 3 Qul : Surah al-Falaq, an-Nas, al-Ikhlas



~ Banyakkan berzikir seperti SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar

~ Banyakkan selawat dan istighfar

~ Banyakkan berdoa untuk kebaikan dan kesejahteraan ibu dan anak dalam kandungan, keselamatan dan kemudahan proses kelahiran

~ Perdengarkan lagu-lagu nasyid, selawat, lagu-lagu klasik seperti Mozart

~ Mengusap lembut kandungan dari bawah perut ke pusat sambil berbual-bual dengan anak dalam kandungan

~ Membacakan cerita kanak-kanak, kisah Nabi, pantun dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau  Bahasa Arab dengan pelbagai nada suara dan inovasi.

~ Menjaga kata-kata dan tingkah laku. Tingkah laku ibu bapa yang baik di saat ibu mengandung merupakan salah satu pendidikan awal yang sangat digalakkan.

~ Menjaga emosi agar tenang, positif  dan ceria selalu

~ Menjaga kebersihan diri

~ Mengambil makanan yang halal, sihat dan seimbang


Semoga dengan usaha yang bersungguh-sungguh dapat menjadi asbab Allah mengurniakan anak-anak yang sihat dan cerdas mindanya. InsyaAllah.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...