Rabu, 25 Februari 2015

Kenapa Perlu Mengajar Anak

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah. Sejak saya menjual produk pendidikan awal kanak-kanak, saya berpeluang bertemu dengan ramai ibubapa. Ramai di kalangan mereka yang mengambil berat dan prihatin terhadap perkembangan anak-anak mereka. Mereka tidak sekadar melepaskan tanggungjawab mereka mengajar dan mendidik anak-anak kepada guru atau pengasuh di taska dan tadika.

Saya sangat gembira dapat berkenalan dengan ibubapa yang kreatif dan berusaha mengajar anak mereka di rumah. Walaupun ada di antara ibubapa yang bekerja serta sibuk, namun mereka tetap berusaha mencari ruang dan peluang untuk mengajar anak -anak kecil mereka di rumah.

Begitu juga dengan para ibu, walaupun sibuk mengurus hal rumahtangga dan anak-anak, mereka juga berusaha dengan gigih mengajar anak-anak kecil mereka.

Saya juga dapat belajar dan mengambil iktibar dan pengalaman dari cerita-cerita mereka.

Sesungguhnya usaha para ibubapa  menjalankan tanggungjawab mengajar anak kecil mereka ini sungguh murni. Ramai di antara mereka berusaha menghadiri pelbagai seminar dan kursus untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian untuk mendidik anak.

Saya kongsikan apa pandangan mereka tentang mengapa ibubapa perlu mengajar anak ?

Mengajar yang saya maksudkan di sini ialah mengajar ilmu asas seperti belajar mengaji,  belajar membaca, belajar menulis, belajar solat, adab dan sebagainya.

Ibubapalah orang yang bertanggungjawab memberi ilmu  dan asas pendidikan kepada anak-anak mereka. Ibubapa jugalah yang bertanggungjawab mencorakkan anak.

Beruntunglah ibubapa yang mengajar anak mereka mengenal alif ba ta, kenal 1, 2, 3, membaca dan sebagainya. Ilmu yang diajar oleh para ibubapa  apabila digunakan anak-anak untuk perkara yang baik dan bermanfaat, ia akan menjadi  sungai pahala yang tidak putus-putus.

Ibubapa juga lebih mengenali sikap, minat dan kecenderungan anak. Maka adalah lebih mudah untuk para ibubapa mencari kaedah dan teknik yang sesuai untuk mengajar  anak-anak di rumah.

Sesungguhnya, rasa syukur dapat melihat anak boleh membaca Al Quran, membaca buku atau menulis mengatasi rasa penat dan payah yang dirasai sebelum itu.

Isnin, 23 Februari 2015

Cuti Tahun Baru Cina

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Pagi ini, tinggallah saya berdua dengan si manja, Muhammad Darwisy di rumah. Anak-anak dan suami sudah ke sekolah dan tempat kerja setelah empat hari bercuti.

Alhamdulillah, cuti sempena Tahun Baru Cina yang lalu, pelbagai aktiviti dapat dijalankan. Kami sekeluarga berpeluang menziarahi saudara mara, menghadiri jemputan kenduri kahwin dan berkongsi ilmu tentang kebaikan air berakali Kangen.

Anak-anak juga dapat berjumpa dan bermain dengan sepupu mereka. Memang seronok dan puas mereka bermain di keliling rumah kampung. Ada sahaja aktiviti mereka. Kejar ayam, kejar kucing, petik bunga, petik daun, minum air kelapa muda dan macam-macam lagi.

Kebetulan juga musim panas sekarang, parit atau tali air mula mengering. Ramai orang kampung mengambil peluang menjala atau memasang jaring. Memang banyak hasil tangkapan ikan air tawar atau orang kampung biasa memanggilnya ikan darat. Suami juga ikut serta bapa mertua dan abang iparnya menjala ikan. Mereka bawa pulang separuh baldi pelbagai jenis ikan seperti ikan sepat, puyu, keli, baung, selat dan tembakang.

Alhamdulillah, puas kami dapat makan ikan air tawar yang segar. Memang enak sekali ikan air tawar  yang segar digoreng garing makan pula bersama nasi panas dan ulam kacang kelisa. Bertambah-tambah nasi anak-anak makan.

Berlalu sudah kisah bercuti, minggu ini pelbagai aktiviti juga di rumah sendiri. Mengemas, membasuh, melipat baju dan macam-macam lagi. Selain itu, temujanji dengan rakan niaga dan pelanggan, temujanji di klinik, program menambah ilmu pengetahuan, kelas membaca dan banyak lagi.

Selamat maju jaya semua. Didoakan segala perancangan berjalan lancar. Tinggal beberapa hari kita akan ke bulan Mac pula.

Rabu, 18 Februari 2015

Anak Kecil Suka Berimaginasi

Teks dan foto: Faridah Yusof

Sejak kami mengamalkan meminum air beralkali Kangen, di rumah kami ada banyak botol putih. Botol-botol yang sudah kosong saya asingkan dan susun di tepi meja. Seminggu sekali saya akan mengambil stok air di rumah bapa saudara. Saya mahu mendapatkan mesin air Kangen buatan Jepun ini, namun harganya yang mahal iaitu RM 6800 untuk yang kecil atau  RM 12000, maka saya perlu membuat bajet dan tabungan dahulu.

Setiap hari, anak yang kedua dan ketiga suka mengangkat botol-botol yang kosong itu. Kadang-kadang geram juga dibuatnya kerana saya baru sahaja susun botol, mereka sepahkan semula. Tetapi hari ini, saya dapat rasakan keseronokan mereka bermain dengan botol-botol putih itu.

Sungguh berbeza apa yang saya lihat pada botol-botol kosong itu dan apa yang anak saya bayangkan.

Saya duduk di tepi mereka sambil menjawab soalan pelanggan. Saya lihat anak saya menggerakkan dua biji botol sambil mengeluarkan bunyi itik.

Tidak lama kemudian, botol-botol itu disusun mengelilinginya sambil dia memarahi Darwisy dan berkata, " Jangan kacau kolam kakak."

Selepas beberapa ketika saya dengar dia menyebut,  "Masuk penjara! Masuk penjara! " kepada adiknya. Akhirnya lakonan mereka berkesudahan dengan adiknya menangis.

Macam-macam yang mereka bayangkan dari botol itu. Botol putih boleh menjadi itik, kolam, penjara dan macam-macam lagi.

Hebat imaginasi anak-anak kecil. Apa sahaja bahan boleh jadi bahan mainan yang menyeronokkan buat mereka. Berikan mereka kotak kosong, mereka jadikan rumah.
Berikan mereka riben terpakai boleh jadi ekor. Berilah apa sahaja, asalkan tidak berbahaya. Berilah mereka kebebasan dan keseronokan bermain. Namun,  perlu ada pengawasan orang dewasa.

Selasa, 17 Februari 2015

Anak Kecil Mudah Meniru

Teks: Faridah Yusof

Anak kecil apabila melihat, mereka bukan sekadar melihat. Mereka melihat dan menyimpan dalam ingatan mereka.

Siapa yang selalu dilihat oleh anak-anak ini? Sudah tentu orang yang selalu berada disekelilingnya seperti ibu, ayah, pengasuh, nenek, datuk, adik-beradik, kawan-kawan di taska dan sebagainya.

Anak kecil yang selalu melihat perbuatan solat, akan mudah meniru perbuatan solat itu. Biarpun dengan pelat menyebut takbir dan tidak sempurna rukuk dan sujudnya.

Anak kecil yang selalu melihat orang sekelilingnya membaca atau mengaji, juga akan mudah meniru perbuatan membaca dan mengaji. Biarpun, buku yang dipegangnya terbalik dan salah sebutan makhrajnya.

Begitulah sebaliknya, jika anak kecil yang selalu melihat orang menyanyi, menari dan sebagainya.

Anak-anak kecil sangat suci. Mereka belum berupaya menapis setiap yang dilihat samada perkara yang baik atau sebaliknya. Apa yang sering dilihat menjadi input ke dalam minda mereka. Kemudian, mereka meniru perbuatan tersebut.

Maka, menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memastikan anak-anak kecil kita terdedah kepada perbuatan dan perkataan yang baik.



Ahad, 15 Februari 2015

Selamat Pengantin Baru.

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Selesai sudah majlis perkahwinan adinda saya yang ketiga pada 14 Februari 2015. Walaupun masih belum hilang kepenatan menguruskan majlis, namun, kami sekeluarga amat bersyukur dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga. Orangnya yang sopan dan lembut bila berbicara.

Kami sekeluarga mendoakan pasangan pengantin baru ini dapat menjalani kehidupan berumahtangga dan berkeluarga dengan aman, tenang dan bahagia di dunia. Seterusnya berbahagia di syurga yang kekal abadi. Serta didoakan juga Allah mengurniakan mereka rezeki yang murah dan berkat, rezeki anak-anak yang soleh, solehah, rezeki kesihatan serta ketenangan hati. Aamiin.

Selamat Pengantin Baru, Fadhilah dan Zainin. Allah, berkati mereka berdua. Aamiin.

Khamis, 12 Februari 2015

'Aina oh 'Aina

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Hari ini cuaca agak panas. Saya juga kurang sihat. Kepala agak berat dan pening. Kasihan pada anak-anak tidak dapat perhatian hari ini. Terutama sekali Muhammad Darwisy.

Sedang saya berbaring dan mata terpejam, telinga saya mendengar dengan jelas, 'Aina menyanyi-nyanyi.

Macam-macam lagu yang dinyanyikan dengan lirik rekaannya sendiri, tapi iramanya macam biasa didengar. Sesekali liriknya membuat saya tersenyum sendiri. Lagu Negaraku yang paling kerap diulang. Mungkin di sekolah tadikanya dia belajar. Tetapi bila sampai ke penghujung lagu, bukan  "Raja kita selamat bertakhta" yang disebut. Dia pandai-pandai pula menyanyikan "Raja 'Aina...
..."

'Aina oh 'Aina. Mama doakan 'Aina sentiasa dalam perlindungan dan kasih sayang Allah. 'Aina masih lagi di Buku 1 Bacalah Anakku. Walaupun sangat perlahan prosesnya, alhamdulillah, dia sendiri sudah mahu belajar membaca. InsyaAllah, kita berusaha, Allah tentukan.

Rabu, 11 Februari 2015

Buku Ajar Anak Kecil Membaca Awal

Teks dan foto : Faridah Yusof

Alhamdulillah, saya sangat seronok membaca buku Ajar Anak Kecil Membaca Awal, hasil tulisan pasangan suami isteri, Puan Nik Eliani dan Tuan Othman.

Buku comel berwarna merah jambu ini sangat sesuai dihadiahkan kepada atau dibaca oleh pasangan suami isteri yang baru berkahwin, yang bakal menimang cahaya mata, yang mempunyai anak kecil (seperti saya) atau yang mahu mengajar anak membaca di rumah.

Saya merasa seronok dan teruja setiap kali membaca dan mengulang baca tip-tip yang dikongsikan di dalam buku ini. Penulis berkongsi tentang pengalaman mereka mengajar membaca enam orang anak mereka. Penulis juga memberi tips untuk mula awal sejak dari dalam kandungan. Selain itu, penulis juga berkongsi tentang kaedah fonik untuk mengajar anak membaca, mengapa kaedah ini berkesan dan hasil kajian mengenai keberkesanan fonik.

Saya banyak mengamalkan tip meransang anak kecil membaca kepada Muhammad Darwisy. Antaranya ialah membaca buku, menyanyilagu seperti Abu Ada Ayam/nasyid Al Furqan, berbual-bual tentang perkara disekelilingnya, mengimbas dan menekap huruf dan yang penting bercakap dengannya menggunakan bahasa biasa bukan bercakap mengikut pelat bayi.

Alhamdulillah, sudah nampak sedikit demi sedikit perkembangannya. Dia suka membuka helaian buku, melihat gambar, mengulang sebut beberapa perkataan seperti ayah, ada, ayam. Dia suka dengan buku Bacalah Anakku dan Al Furqan.

Buku yang mempunyai 74 muka surat ini mudah disimpan dan dibawa di dalam beg tangan/beg bayi saya. Bila-bila ada masa terluang ketika berada di luar, saya dapat mengulang baca buku ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...