Sabtu, 14 Januari 2017

Bukan Disleksia

Teks: Faridah Yusof

Baru-baru ini, saya telah membawa anak, 'Aina, untuk temujanji dengan doktor pakar di hospital. Seperti biasa, doktor akan bertanya soalan kepada anak dan juga saya untuk membuat penilaian tentang perkembangan anak.

'Aina masih lagi tidak memberi respon yang baik kepada soalan-soalan yang ditanya doktor. Sesekali dia menjawab tetapi suaranya sangat perlahan. Berbeza sungguh karaktornya dengan di rumah. Di rumah suaranya tidak pula diperlahankan seperti semasa di dalam bilik doktor.

Saya meminta pandangan doktor untuk memasukkan anak ke sekolah Pendidikan Khas. Doktor pakar tidak menggalakkan anak dimasukkan ke Pendidikan Khas. Doktor menggalakkan anak untuk mendapat kelas tambahan di luar untuk mengatasi masalah pembelajarannya. Doktor juga memaklumkan dia melihat keadaan 'Aina tidak cenderung kepada Disleksia. Jika ada Disleksia sekalipun, hanya tahap yang ringan dan tidak serius. Doktor lebih melihatnya sebagai 'slow learner'.

Nampaknya saya perlu mencari lebih banyak maklumat berkaitan 'slow learner' dan bagaimana membantu perkembangan anak ini kepada yang lebih baik.

Jumaat, 13 Januari 2017

Anda Stress, Cuba Buat Perkara Ini?

Teks: Faridah Yusof

Apakah yang boleh dilakukan apabila stress ?

Ini yang saya lakukan:

1. Minum air putih lebih banyak dan kerap

2. Membaca apa-apa buku yang tercapai di rak buku

3. Membuka tafsir Al-Quran dan baca dan baca lagi

4. Memasak atau buat kek

5. Lihat dan membelek tanaman di belakang rumah: ada pegaga, pudina, pandan, daun kari

6. Tengok permandangan laut

7. Mandi

8. Istighfar dan selawat sebanyak-banyaknya

9. Berdoa kepada Allah agar diberikan bantuan serta petunjuk.

10. Tidur sebentar

Khamis, 12 Januari 2017

Doa Untuk Si Penjual Yakult Yang Gigih

Teks:Faridah Yusof

Setiap hari yang kita lalui pasti ada pengajaran dan hikmah yang boleh kita renungkan dan kongsikan kepada orang lain terutama kepada mereka yang dekat dengan kita contohnya anak-anak.

Sebagai contoh hari ini saya lihat ketekunan seorang wanita berbangsa Cina yang sudah agak berumur. Wanita tersebut cekal menjual minuman berkultur jenama Jepun iaitu Yakult. Setia berdiri di tepi motor, berbaju uniform kerja yang kemas dan putih dan bertopi. Ada tong putih berisi Yakult di belakang bahagian motor. Dengan mesra dan senyuman yang tidak lekang di wajahnya, beliau menyapa semua yang lalu di hadapannya.

Pada dirinya saya lihat sikap bersungguh-sungguh dan gigih berusaha. Saya katakan kepada anak yang ada bersama waktu itu. "Tengok nyonya tu, rajin berusaha."

Saya lihat lagi. Walau tiada yang datang membeli, dia tetap senyum dan menyapa sambil mempromosikan jualannya. Memang kental jiwanya. Saya tertarik untuk membeli satu pek buat anak-anak. Baik sungguh layanannya. Setelah ucap terima kasih, di dalam hati, saya berdoa agar Allah berikan dia hidayah agar dapat kembali kepada fitrah sebelum meninggalkan dunia ini nanti. Aamiin.

Rabu, 11 Januari 2017

Tuan Suami Rajin Buat Mi

Teks : Faridah Yusof

Semenjak suami berjaya buat mi menggunakan mesin pembuat mi Noxxa, rajin dia membuat mi. Balik kerja tukar baju, terus cari bahan-bahan untuk buat mi di dapur.

Hari ini, tuan suami cuba mengubahsuai resepi yang digunakan sebelum ini. Seperti yang saya kongsikan beberapa hari lepas, bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat mi seperti tepung berprotein tinggi, tepung gandum biasa, serbuk kunyit, air, garam dan minyak. Hari ini, tuan suami hanya guna tepung gandum sebagai bahan utamanya. Beliau guna Tepung Gandum Tanpa Bahan Peluntur keluaran dari syarikat Faiza.

Hasilnya tadi boleh tahan juga rasanya. Saya lebih suka resepi mi menggunakan tepung biasa berbanding campuran tepung berprotein tinggi. Kalau tidak ditegur tadi, boleh  habis saya dan anak meratah mi yang sudah direbus dan ditos oleh suami. Tuan suami pula suka resepi menggunakan tepung berprotein tinggi.

Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur mi ini bebas dari bahan pengawet dan pewarna tiruan.
Alhamdulillah.

Selasa, 10 Januari 2017

Bawa Daniyal Ke Klinik

Teks: Faridah Yusof

Malam tadi, dada anakanda Daniyal berombak laju. Nampak seperti dia bernafas menggunakan otot abdomennya. Teringat saya kepada keadaan yang sama seperti kakaknya 'Aina pada tahun lalu. Aina dirujuk terus ke bahagian kecemasan dari klinik panel kerana doktor bimbang melihat keadaannya. Terus kena tahan di wad tengah malam itu. Ayahnya jadi peneman selama 3 hari. Menurut doktor ada jangkitan kuman di paru-paru.

Teringatkan situasi itu, saya terus minta suami bawakan kami ke klinik pagi ini. Tidak mahu bila keadaan semakin teruk baru mahu ke klinik. Nanti pastinya akan dirujuk ke hospital.

Di klinik ramai orang. Kebanyakannya kanak-kanak dan bayi. Saya bertanya di kaunter sekarang sudah ada berapa pesakit dalam giliran? Ada sepuluh orang.

Di bahagian belakang klinik ada ruangan bermain untuk kanak-kanak. Di situlah anak saya bermain sementara menunggu giliran.  Anak-anak cepat merasa bosan jika menunggu lama. Kemudian suami bawa Darwisy keluar berjalan di luar klinik. Di ruangan kerusi menunggu pula ada rak buku dan ada buku-buku yang boleh dibaca. Saya memang suka ke klinik ini.

Tiba giliran Daniyal sudah hampir jam 12. Menurut doktor, perlu guna nebulizer. Hanya saya dan Daniyal di dalam bilik rawatan. Pada mulanya Daniyal nampak tenang apabila dipakaikan 'mask' dimukanya. Selang beberapa minit dia sudah resah, menolak-nolak 'mask' di hidungnya. Kemudian dia menangis. Puas saya cuba menenangkannya. Berdoa memohon bantuan dari Allah agar urusan dipermudahkan. Daniyal masih menangis.

Tidak lama kemudian, jururawat masuk. Melihat baki cecair untuk' nebulizer'. Masih ada banyak katanya. Dia pakaikan semula 'mask' ke muka Daniyal. Yang lucunya kali ini Daniyal hanya diam sahaja. Tidak bergerak dan akur sahaja. Pandai dia. Dengan mama, dia bukan main lagi menangis. Ada jururawat di tepi, elok sahaja diam. Alhamdulillah, akhirnya selesai.

Isnin, 9 Januari 2017

Aktiviti Buat Donat

Teks: Faridah Yusof

Dari semalam, anakanda 'Aina mahu makan donat. Tapi belum sempat tunaikan.

Tadi, lihat bahan-bahan di dapur nampak gayanya cukup untuk ditukarkan kepada donat.

Daniyal tidur dan mahu tunggu apa lagi, saya terus ambil bahan-bahan, penimbang, bekas pengadun, mula. Jiha, 'Aina dan Darwisy nampak saya sedang menyediakan bahan, semua datang ke meja. Semua mahu tolong.

"Ok, basuh tangan dulu. Baru boleh tolong."
"Sapu tangan dengan minyak"

Alhamdulillah, siap sahaja doh, Daniyal masih nyenyak tidur. Saya beri seorang sedikit doh. Adalah sebesar penumbuk bayi. Bolehlah untuk mereka menggolek dan menggelek doh. Jadi aktiviti untuk menajamkan kemahiran motor halus anak-anak. Jiha dan 'Aina seronok dan berjaya membuat bentuk bulat untuk donut. Ada yang besar dan ada yang kecil. Tak mengapa, pada saya. Asalkan mereka rasa seronok dan gembira. Mereka tak sabar mahu makan donut yang mereka buat.

Darwisy pula, habis digolek dan digelek dohnya di dalam piring, kemudian di atas meja, kemudian di lantai dan di dinding. Akhirnya dia letak doh atas rambut dan bawah tikar. Sabar sahajalah.

Doh yang sudah dibulat-bulatkan untuk donut, saya biarkan di dalam oven yang tidak dipasangkan elektriknya. Biar doh mengembang dulu, baru digoreng.

Apa itu kemahiran motor halus? Kenapa ya kemahiran motor halus ini penting?

Kemahiran motor halus melibatkan pergerakan kecil tangan, pergelangan tangan, jari dan juga kordinasi pergerakan dengan organ deria seperti mata.

Kemahiran motor halus ini penting dalam perkembangan anak. Ia perlu berkembang mengikut usia anak. Ini akan membantu perkembangan dan membina kekuatan otot tangan serta jari anak kecil. Kemahiran motor halus ini akan membantu aktiviti anak kelak seperti memegang pensil, menulis, menggunting, menampal, mewarna, melukis, mengikat tali, memakai butang dan banyak lagi.

Berikut adalah antara aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk mengasah kemahiran motor halus anak.

1. bermain pasir, sekarang ada banyak pasir ajaib atau magic sand boleh main di dalam rumah
2. bermain plastisin, 'playdough',
3. kolaj : mengoyak dan menampal
4. bermain menyusun 'blok' atau mencantum mainan
5. menconteng
6. mewarna dengan menggunakan jari dan warna air
7. mengasingkan objek kecil
8. menulis di atas pasir
9. membancuh atau mengacau air
10. cop tangan
11. memotong kek atau kuih

Alhamdulillah. Bila donut telah mengembang dengan jayanya, apalagi, kita goreng dia. Darwisy sudah tidak sabar-sabar lagi mahu makan donut.

Yang sudah digoreng tapi belum sempat disalut gula halus juga dia sapu.

Ahad, 8 Januari 2017

Telefon Dan Anak Kecil

Teks: Faridah Yusof

Ibu bekerja atau berbisnes dari rumah sudah semestinya banyak menggunakan laptop atau komputer dan telefon di rumah. Anak-anak kecil yang melihat ibu bekerja pasti tertanya-tanya, apa yang dilihat ibu di tapak tangannya itu atau apa yang di tekan-tekan di atas meja. Mereka juga mahu mencuba.
Pantang sahaja telefon tersalah letak, anak mesti akan ambil dan meniru aksi yang biasa dilihat.

Secara peribadi saya tidak menggalakkan anak mengambil telefon saya. Bagi yang sudah bersekolah, mereka memang tidak mengambil telefon saya. Sesekali sahaja saya beri mereka peluang menonton video kartun di You Tube atau bermain game 'bricks' sebagai hadiah kerana menyelesaikan tugasan dengan baik. Itupun ada had masa. Mereka akur.

Namun bagi anak ketiga yang berusia tiga tahun, hal ini lebih mencabar. Pantang tersalah letak, telefon sudah berada di tangannya. Mahu mendapatkan semula telefon bukan mudah. Bermacam-macam cara dicuba. Namun kesimpulannya, cara yang lembut dan berhemah lebih baik.

Pada peringkat awalnya, saya berulangkali ucap, telefon itu untuk mama buat kerja dan minta dengan lembut. Mahu dia faham dan mengerti ibunya buat kerja. Adakalanya berkesan, bila dia nampak telefon saya, dia segera ambil dan hulurkan kepada saya. Adakalanya juga, bila dia nampak telefon saya, dia bawa lari menyorok tepi sofa dan buka kartun di You Tube.

Cara lain saya matikan suis untuk WIFI supaya dia tidak dapat menggunakan internet. Bila tidak dapat capaian internet, maka telefon itu diletakkan sahaja.

 Adakalanya penuh drama. Selalunya, saya menggunakan telefon lain menghubungi telefon di tangannya dan ada orang telefon mama tu. Cepat-cepat dia berikan pada saya.

Ada juga masanya, saya mengalihkan perhatiannya dengan mengajak anak memberi makan kepada kucing atau ikan atau siram pokok. Itu lebih menarik minatnya berbanding telefon. Ini selalunya berjaya. Namun risikonya, perlu menangguhkan kerja seperti menjawab soalan pelanggan atau prospek di Whatsapp atau 'inbox'.

Seboleh mungkin, saya meminimakan penggunaan telefon di hadapan anak kecil. Lebihkan komunikasi dan aktiviti dengan anak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...