Ahad, 16 November 2014

Tarik Minat Anak Dengan Plastisin


Teks: Faridah Yusof
Gambar : Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah. Anak kedua saya sudah genap umurnya 5 tahun pada 12 November yang lalu. Dia sangat unik dan istimewa.





Sudah hampir 6 bulan dia tidak mahu ke sekolah tadika.

Saya mengajarnya mengaji menggunakan buku Al-Furqan dan membaca kaedah fonik Bacalah Anakku. Saya masih berusaha untuk mengajarnya walaupun dia jarang sekali menunjukkan minat mahu belajar. Dan dia juga mudah lupa apa yang sudah dipelajari.

InsyaAllah saya tidak berputus asa untuk memastikan dia boleh membaca Iqra' atau Al-Furqan dan Bahasa Melayu sebelum dia ke sekolah rendah.

Untuk menarik minatnya mengaji dan belajar membaca, saya pelbagaikan cara dan kaedah. Adakalanya berkesan dan adakalanya tidak berkesan. 


Antara cara yang berkesan, saya meletakkannya di atas riba untuk mengajar. Saya juga mengaplikasikan ilmu mendorong anak menggunakan teknik Nabi, seperti memuji usahanya. 

Berikut adalah contoh langkah yang saya gunakan untuk mengajar anak membaca.

Skrip yang saya gunakan untuk mengajar 'Aina membaca.


♡ " 'Aina (panggil nama anak dengan lembut dan senyum), hari ini mama nak ajar bunyi pada 'Aina. Mahu dengar tak bunyi apa?"

♡ Saya lihat respon anak:

》 jika anak angguk/jawab mahu/jawab nak, saya terus ke langkah seterusnya

》 jika anak tidak beri respon,saya cuba sekali lagi atau cuba semula pada waktu lain. Mungkin anak tidak bersedia, lapar, penat atau kurang sihat. Uruskan anak dahulu.

♡  
Saya sebut bunyi yang hendak diperkenalkan. Sebut bunyi 3-5 kali.                     

" Baik, 'Aina dengar ya. Tengok mulut mama" 

♡ " 'Aina dengar bunyi apa? " , "Bagus, 'Aina dengar dan sebut dengan betul. Baik, cuba ulang bunyi tadi. " (sambil menepuk-nepuk atau mengusap bahunya)

♡ " 'Aina, ini.. bunyinya ...." sambil tunjukkan kad yang mengandungi simbol bunyi yang diperkenalkan tadi. Bunyikan, kemudian bunyikan bersama anak dan kemudian anak ulang bunyi tadi sendiri.

♡ "Ok, sekarang kita nyanyi pula, mahu tak?"

Nyanyikan rangkap lagu Abu Ada Ayam yang mengandungi bunyi yang diperkenalkan.

♡ Nyanyi bersama-sama dan ulang sehingga anak dapat mengenal dan menyebut bunyi dengan betul.

♡ Hadiahkan senyuman, pelukan dan ciuman kepada anak. "Tahniah, bagus 'Aina. Allah suka orang yang belajar bersungguh-sungguh. InsyaAllah, mama yakin 'Aina boleh membaca dengan cepat. Esok kita belajar bunyi lain pula ya."



Antara strategi lain yang berkesan ialah belajar sambil bermain dengan menggunakan plastisin.

Dia sangat suka plastisin. Sudah tentu kanak-kanak sangat suka dengan plastisin.

Setelah saya mengajarnya, contoh mengajar bunyi huruf A, saya berikan dia peluang untuk menggunakan plastisin.

Saya dapati, bermain dan belajar dengan plastisin menjadikan anak lebih memberi tumpuan. Bila saya kata saya mahu ambil gambarnya dan mahu tunjuk pada kakak dan ayah petang nanti, lagi dia suka.



Plastisin dibentuk menjadi bebola kecil

Tunjukkan cara menyusun bebola kecil plastisin mengikut cara menulis yang betul.




Plastisin di atas saya beli di kedai.

Jika mahu buat sendiri, boleh klik di sini .

Sabtu, 15 November 2014

Soalan Yang Buat Saya Berubah dan Beralih Arah.

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Saya adalah pengguna perkhidmatan talian telefon mudah alih prabayar ****** yang setia. Saya telah mula menggunakan perkhidmatan tersebut dari zaman belajar sehinggalah tahun 2013. Nombor sama yang saya gunakan sehingga sekarang. Biarpun pernah diajak dan dipujuk untuk bertukar kepada Telco lain saya masih setia dengan Celcom.

Namun pada tahun 2013, seorang sahabat bertanya kepada saya. "Apa yang kau dapat dari ****** setiap kali kau beli reload/ top up?"

Saya dengan lurus bendulnya terus jawab "dapat tambah 'kredit' telefon lah"

Kawan saya pun cakap, "Dari dulu sampai sekarang, tak dapat apa-apa?"

"Dapat, bila time birthday dapat free calls." Jawab saya dengan segera.

"Rugilah kalau macam tu", kata kawan saya.

"Apa? Rugi?"

Jeng, jeng, jeng..

(Bersambung)

Persepsi Anak

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Pada suatu petang yang santai sedang saya menyusukan Darwisy di dalam bilik, saya terdengar anak sulung saya, Jiha berbual dengan adiknya, 'Aina di ruang tamu.



Jiha: Kakak jadi rama-rama.

'Aina : 'Aina pun nak jadi rama-rama.



Mereka berlari dengan mendepakan tangan dan berpusing-pusing di ruang tamu sambil ketawa gembira seolah-olah mereka adalah rama-rama yang sedang terbang bebas di taman bunga.

Seronok betul mereka dengan imaginasi mereka. Selepas berpusing-pusing beberapa ketika, 'Aina menjengah saya yang masih menyusukan Darwisy di dalam bilik.



'Aina : Mama jadi apa?

Jiha : Mama jadi singa.

Mama : Kenapa mama jadi singa ?

Jiha : Sebab Mama garang macam singa.


Ha? Mama garang macam singa? Oh, garang sangatkah saya sehingga saya dilihat seperti singa?

Ya, saya mungkin sedikit tegas dengan Jiha yang saya kira sudah mumaiyiz (sudah tahu baik dan buruk) dan lebih menekankan displin.


'Aina : Ayah jadi apa?

Jiha : Ayah jadi harimau.Darwisy jadi kancil.



Saya terus meyampuk.



Mama : Eh, macamana kancil boleh menyusu dengan singa?

Jiha : Eh, tak..tak.. ok..Mama singa yang baik.


Lucu juga bila saya kenangkan perbualan tersebut. Bayangkan harimau menyusukan kancil.

Sabtu, 11 Oktober 2014

Cabaran utama mendidik anak-anak kecil.

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Ramai ibu bapa yang saya temui  berkata mereka rasa susah dan agak mencabar mengajar anak sendiri.

Antara perkara yang disebut menjadi cabaran utama dalam mendidik anak-anak kecil ialah:

~ anak-anak yang aktif, tidak boleh duduk diam, ada sahaja benda yang mereka buat dan selongkar, lasak, berlari ke sana ke mari
~ tidak mahu mendengar, tidak mahu ikut arahan, melawan, degil



~ suka buat sepah mainan, suka menconteng
~ cepat mengantuk, cepat bosan, tidak berikan perhatian.
Sebenarnya ibu dan ayah yang prihatin, itu bukanlah cabaran utama. Itu adalah perkara semulajadi bagi seorang anak kecil. Kita perlu sentiasa faham bahawa anak-anak kecil belajar melalui bermain. Apabila mereka seronok dan gembira mereka lebih mudah untuk belajar.

Jadi, apakah cabaran utama?
Ibu dan ayahlah cabaran utama. Tanyakan semula soalan-soalan berikut kepada diri kita:

~ apakah persediaan ibu dan ayah sebelum dikurniakan cahaya mata dari segi ilmu dan kemahiran keibubapaan.

~ sikap dan perangai yang ibubapa tunjukkan kepada anak-anak kecil. Cara bercakap? Cara makan? apakah hobi kita? mengaji, membaca, menonton, tidur 

~ sudah kenalkah ibu dan ayah tentang anak-anak mereka, apakah kecenderungan mereka, apakah pendedahan yang sudah diberikan. Apakah cara belajar anak ?

~ apakah makanan yang kita berikan kepada anak-anak ? makanan sihatkah ? makanan halalkah?

~ apakah yang selalu kita katakan kepada anak-anak? kata-kata yang baik? nilai-nilai yang baik?

Sekali lagi, ingin saya tekankan, kitalah sebagai ibubapa yang menjadi cabaran utama dalam mendidik anak-anak.

Perlunya ada ilmu, kemahiran, sikap yang positif dalam mendidik anak-anak. Kitalah yang perlu memperbaiki diri supaya anak mengikut contoh yang baik dari diri kita. Kita perlu mendidik diri kita dahulu, latih diri menjadi sabar, tenang dan penyayang.

Mana mungkin kita dapat senyum dan memberi pelukan apabila kita tidak berjaya mengawal perasaan marah atau stress bekerja. Mana mungkin kita dapat memujuk anak yang meragam apabila kita kepenatan dengan tugas seharian.

Bagaimana anak mahu belajar, apabila muka kita tegang dan ketat? Bagaimana anak mahu belajar jika ianya tidak menarik dan tiada unsur-unsur menggembirakan? Bagaimana anak mahu belajar jika kita tidak pernah memberi pujian kepada usaha mereka?


Anak-anak kecil tidak meminta yang bukan-bukan. Mereka tidak meminta pakaian yang berjenama, makanan atau permainan yang mahal. Mereka hanya perlu kasih sayang, pelukan, senyuman, kata-kata dorongan, kata -kata semangat, kata-kata galakan dan pujian. Bermainlah dengan mereka. Ceritakan mereka dengan cerita yang mempunyai nilai-nilai yang baik. Berikan mereka senyuman dan pelukan. Ajar dan didik mereka mengikut umur dan tahap kematangan mereka.

Fahami dan hormati naluri semulajadi anak-anak kecil. Kenali mereka dan perhatikan kecenderungan mereka. Kenalpasti kecerdasan mereka agar kita sebagai ibubapa dapat membantu pembelajaran mereka. Berikan mereka pendedahan yang luas tentang kehidupan dan perkara di sekeliling mereka.

Rabu, 8 Oktober 2014

Perpustakaan Mini Di Rumah

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Siapa ada perpustakaan atau perpustakaan mini di rumah?

Saya pernah berbual dengan pegawai perpustakaan tentang perpustakaan di rumah. Pegawai tersebut memaklumkan bahawa dahulu, jika ada sesiapa yang mahu adakan perpustakaan di rumah, boleh beritahu pihak perpustakaan, kemudian mereka akan datang 'set -up' perpustakaan kita di rumah.

Menarik bukan?

Namun katanya lagi, sekarang sudah tidak ada perkhidmatan begitu.

Impian

Saya mahu adakan perpustakaan di rumah. Sudah lama berimpian mahu wujudkan perpustakaan di rumah. Saya mahu jadikan salah satu bilik atau ruang di rumah sebagai  perpustakaan.Saya mahu perpustakaan itu digunakan sepenuhnya oleh ahli keluarga saya dan menjadikannya antara ruangan rumah yang paling mereka sukai. Tempat lepak terbaik di rumah.

Perpustakaan Mini Sebagai Permulaan


Oleh kerana belum memiliki rumah sendiri, saya adakan satu ruang kecil untuk perpustakaan mini di rumah sewa. Hanya ada rak buku, sofa dan meja kecil.




Alhamdulillah, buku-buku koleksi saya dan suami sudah pun saya proses sedikit demi sedikit. Saya gunakan buku dari Dewan Bahasa ini sebagai rujukan untuk tujuan pengelasan buku.





Cop untuk logo perpustakaan dan maklumat buku ini sudah lama saya buat, namun baru tahun lepas saya dapat menggunakannya. Punya lama saya peram.




Apa yang saya dapati sejak saya adakan perpustakaan mini di rumah, anak-anak dan suami suka duduk di ruangan yang  disediakan. Walaupun kecil, saya sangat bersyukur mereka manfaatkannya.

Saya doakan semua rumah mempunyai perpustakaan atau mini perpustakaan yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh ahli keluarga. Aamiin ya rabbal'alamiin.

Rabu, 20 Ogos 2014

Manfaatkan Perpustakaan Awam

Teks : Faridah Yusof

Bismillah.

Antara sebab anak-anak saya suka ke perpustakaan ialah ada banyak buku. Buku-buku itu pula jika mahu beli sendiri memang mahal terutama buku yang berkulit tebal dan jenis bersiri macam ensiklopedia. Selain itu, ada banyak majalah kanak-kanak yang anak saya boleh baca. Memang seronok betul mereka bila dibawa ke perpustakaan.

Ada masanya, kami tidak dapat berlama-lama di perpustakaan, jadi kami daftar untuk jadi ahli yang membolehkan kami meminjam buku. Untuk jadi ahli perpustakaan awam, hanya perlu isi borang. Seawal 4 tahun sudah boleh menjadi ahli. Percuma sahaja. Boleh pinjam dua buah buku. Kita boleh pilihkan buku yang sesuai untuk anak kecil kita. Bagi yang sudah boleh membaca beri peluang anak memilih buku yang mereka mahu baca.

Apa yang penting, kita sebagai ibubapa perlu memastikan buku yang dipinjam digunakan dan  dijaga dengan baik.

Sabtu, 9 Ogos 2014

Murid Cilik

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Alhamdulillah.

Syukur ada anak murid cilik. Dia tengok sahaja muka dan mulut kita bila kita bunyikan huruf. Kadang-kadang dia cungkil pula mulut kita.  Bila tunjuk kad imbas, dia ambil , renyuk-renyuk dan masuk dalam mulut dia. Kita berselawat dan bernasyid dia goyang-goyang badan. Dia tepuk tangan bila kita nyanyi lagu yang berima. Yang bestnya tidak pernah tunjuk muka bosan atau jemu walaupun lagu yang sama berulang kali.

Bila kita pegang buku, dia tengok dan mahu pegang juga. Tapi bila kita tidak baca buku dia tarik semua buku-buku di rak mini kakak-kakaknya. Tidak tahu nak kata dia nak baca buku atau nak sepah buku. Hehehe.

Nampak macam tidak tahu dan tidak faham apa-apa, tapi rupanya sedang menyerap dan menyimpan input dalam otaknya. Tup..tup..dalam tempoh yang lain sudah boleh meniru apa yang diajar atau yang dilihat. SubhanaAllah. Memang otak mereka sedang berkembang. sekarang dalam diam dia ada lagu dia sendiri. Sambil main-main berbunyi irama dari mulutnya.

Rasa rugi juga tidak mula awal pada kakak- kakaknya. Tapi sekarang tidak mahu fikir tentang perkara yang sudah berlalu. Sekarang hanya perlu ambil iktibar dan bertindak. Hargai apa yang ada sekarang.

Sekarang, semua dalam rumah kena cakap macam orang dewasa dengannya. Sesekali tersasul juga bahasa 'baby' terutama bila mengajuk gayanya. Biar murid cilik ini biasa mendengar bahasa dan sebutan yang betul. InsyaAllah dengan mendengar bunyi sebutan yang betul ia dapat membantunya apabila belajar membaca kelak.

Muhammad Darwisy sudah satu tahun. Alhamdulillah. Syukur.
Mama doakan anak bertuah ini jadi hamba Allah yang diredhaiNya, beri manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Bertuah dia dapat menyusu sepenuhnya. InsyaAllah kita teruskan hingga tahun kedua. Aamiin ya rabbal'alamiin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...