Isnin, 9 Februari 2015

Kanak-kanak Cepat Belajar

Teks: Faridah Yusof

Selepas kami sekeluaga tengok demo dan belajar tentang air, ada satu perubahan yang ketara pada anak dan suami. Sekarang hari-hari anak yang sulung dan suami bawa bekal air putih ke sekolah dan tempat kerja.

Bila anak ikut saya ke kedai untuk membeli barang, dia hampiri dan melihat ke dalam peti ais sambil berkata kepada saya, "Air gas ni, tidak elok. Ada asid". Walaupun kami memang tidak biasa belikan anak air berbikarbonat tetapi mereka ada melihat saya minum air 100 Plus. Jadi fahamlah saya, kata-katanya itu seakan-akan mengingatkan saya. Alhamdulillah, saya doakan agar ilmu yang kami perolehi dapat memberi manfaat kepada diri, keluarga dan orang sekeliling kami.

Jumaat, 6 Februari 2015

Conteng Di Buku Ajaib

Teks dan foto: Faridah Yusof

Alhamdulillah.

Pagi ini sejuk dan mendung. Muhammad Darwisy bangun awal pagi hari ini. Selepas mandi dan menyusu tadi, dia tidur semula. Sambil dia tidur, mama buat kerja sedikit. Ada pesanan pelanggan yang perlu diproses.

Alhamdulillah, saya menerima banyak pesanan dari para ibu yang baru pertama kali mahu mencuba lampin moden atau lebih dikenali sebagai 'cloth diapers'. Seronok apabila ramai beralih kepada lampin kain moden ini. Ia bukan sahaja mudah digunakan, bahkan mampu memberi penjimatan kepada perbelanjaan keluarga. 

Saya sendiri mula menggunakan lampin ini sejak anak kedua selepas meletakkan jawatan. Memang tujuan asal beralih kepada lampin moden ini untuk berjimat. Rupanya bukan sahaja dapat menjimatkan wang bahkan sampah di rumah juga tidak banyak. Bayangkan saya ada dua anak, ketika itu kedua-duanya menggunakan lampin. Satu hari sahaja, sudah 8 -10 lampin pakai buang dalam plastik sampah.

Muhammad Darwisy sudah bangun. Sekarang,  bangun sahaja dari tidur terus capai pen atau pensel. Dia dah boleh pegang pensel, jadi saya bagi dia menconteng buku magik kakaknya yang dibeli tahun 2 lepas. Masih tahan sampai sekarang. Cuma ganti 'marker pen' sahaja.

Contenglah Darwisy. Mama tak kisah. Nanti boleh padam dan tulis lagi.

Khamis, 5 Februari 2015

Beri Peluang Dan Buka Ruang Kepada Kemahiran Baru Si Manja

Teks dan foto:

Hari ini Muhammad Darwisy sudah genap 18 bulan. Alhamdulillah, dia sungguh aktif dan suka meneroka pelbagai perkara baru.

Pantang dia melihat saya atau kakak-kakaknya menulis. Dia mesti nak rebut pen atau pensel yang dipegang. Dia sudah aktif menconteng sekarang.

Pada mulanya, saya lihat dia memegang pen atau pensel dengan menggenggam. Setelah dilatih memegang pen atau pensel dengan betul, alhamdulillah, Muhammad Darwisy sudah boleh memegangnya dengan dua jari. Semakin aktif dia menconteng. Mula-mula dia menconteng di kertas dan buku, bila terlepas dari pandangan sekejap, dia sudah menconteng dinding, lantai, cadar dan buku sekolah kakaknya.

Pada waktu anak sedang seronok meneroka kemahiran baru, ibubapa sangat perlu memberi sokongan dan dorongan. Berilah pelbagai bahan untuk dicuba. Tidak perlu desakan atau meletakkan harapan untuk hasil kerja yang cantik. Cukup sekadar memberi pendedahan.

Berikan pujian dan tunjuk ajar mengikut kemampuan anak. Setiap anak juga berbeza tahap perkembangan mereka. Raikan mereka dengan sentiasa memberi dan membuka peluang untuk belajar.

Rabu, 4 Februari 2015

Pertemuan Yang Tidak Disangka

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah, hari ini dapat kad pengenalan baru. Kad pengenalan lama sudah rosak dan kuning. Buat hari Isnin dan dapat kad baru hari Rabu sebab semalam cuti umum.

Muhammad Darwisy semakin aktif. Semasa menunggu giliran, semua orang yang duduk di kiri, kanan dan belakang kerusi di acah-acah seperti bermain cak-cak. Ada yang membalas, ada juga yang buat tidak tahu. Cepat-cepat saya bawa Darwisy berjalan-jalan ke ruangan lain agar tidak menganggu orang tersebut.

Sedang menunggu giliran, tiba-tiba terpandang seorang ibu yang saya kenali semasa kami sama-sama berada di wad jagaan intensif bayi menemani bayi masing-masing. Sempat kami berbual pendek dan bertanya khabar. Saya dimaklumkan bahawa beliau kini surirumah sepenuh masa. Saya terus menjabat tangan dan mengucapkan tahniah kepada beliau. Saya rasa gembira mendengarnya.

Saya memohon kepada Allah agar saya dan ibu tersebut diberikan kesihatan, kegembiraan, kewangan yang stabil serta kesabaran dalam menjalani kehidupan yang mencabar sebagai surirumah. Aamiin Ya Rabbal'alamiin.

Selasa, 3 Februari 2015

Belajar Tentang Air

Teks dan foto: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Hari ini berpeluang melihat ibu dan bapa saudara memberi penerangan tentang air Kangen.
Anak-anak juga turut mendengar sama. Pada asalnya, mereka ingat ada ujikaji menggunakan warna. Bersungguh mereka melihat.
Selepas melihat demo, kami sekeluarga insaf betapa pentingnya air yang bersih dan berakali. Sebaiknya minumlah air berakali 9.5. Alangkah bagusnya jika dapat minum air zamzam setiap hari. Air zamzam ternyata air yang berakali tinggi dan sangat baik untuk diminum.
Elakkan memberi anak-anak meminum air berbikarbonat. Kita juga wajar meninggalkan minuman tersebut demi menjaga kesihatan tubuh badan. Ia minuman yang tidak sihat dan menjadikan tubuh badan berasid. Tubuh badan yang berasid mudah dijangkiti penyakit.    

Isnin, 2 Februari 2015

Akui Kesalahan Kita

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Anak-anak kecil yang sedang membesar masih belum mampu untuk memahami atau merasai apa yang dilalui oleh ibubapa mereka.

Anak-anak ini sentiasa mahu bermain dan gembira setiap masa.

Namun adakalanya karenah anak-anak kecil ini amat menguji kesabaran ibu dan ayah mereka.

Ada anak-anak kecil yang menjadi mangsa tempat melepaskan tekanan ibubapa. Kasihan mereka. Lantaran sedikit kesilapan seperti tertumpahkan air sewaktu sarapan pagi, mengantuk dan lemah saat bangun tidur pagi dan pada hari tersebut pula ibu dan ayah perlu ke tempat kerja lebih awal. Ada anak yang menerima akibatnya seperti ditengking, dijerkah, dimarah dan sebagainya.

Andai pernah tersilap langkah, pernah termarah anak atas kesilapan kecil mereka yang mana  kita boleh menerima kesilapan tersebut sekiranya berlaku pada waktu kita tenang, maka akuilah kesilapan kita.

Segeralah beristighfar memohon keampunan dan berzikirlah dengan zikir dari kisah Nabi Yunus yang ditelan ikan Nun.

LAILAHAILLA ANTA SUBHANAKAINNI KUNTU MINAZZOLIMIN.

Mintalah maaf dari anak yang sudah menjadi mangsa keadaan dan kelemahan diri kita.

Semoga Allah mengampuni dosa kits serta membuka pintu penyelesaian buat segala permasalahan yang dihadapi.

Ahad, 1 Februari 2015

Hari Baru Setiap Hari

Teks : Faridah Yusof

Alhamdulillah.

Saya beransur sihat. Sewaktu kurang sihat, alhamdulillah saya dapat merehatkan sedikit badan yang sakit.

Sesungguhnya segala puji buat Yang Maha Mendengar.

Hari semalam sudah jadi sejarah. Biarpun ada macam-macam cerita. Cerita yang manis, masin, masam, kelat dan tawar. Semuanya tinggal kenangan dan perlu dijadikan iktibar.

Setiap hari adalah hari baru, peluang baru serta kejayaan baru. Lihat ke depan. Tengok esok, minggu depan, sebulan lagi, setahun lagi atau 10 tahun lagi. Di mana diri kita, keluarga kita, anak-anak kita?

Tekuni apa yang dirancang, tawakal dan jalani kehidupan dengan tenang. Biar ada macam-macam lagi cabaran bakal mendatang, insyaAllah kita semua boleh lalui dengan bantuan dari Allah.

Anak-anak juga belajar sedikit demi sedikit setiap hari. Biar sedikit tetapi berterusan. Setiap anak berbeza perkembangan dan pencapaian mereka walau lahir dari ibu yang sama. Hargai mereka.

Anak yang kedua juga sudah serasi dengan tadika baru. Setiap hari pulang dengan cerita dan senyuman. Alhamdulillah. Biar dia agak lambat dalam pembelajaran, saya yakin dia punya kelebihan. Tugas saya dan suami perlu terus mendidik dan mengajarnya.

Sewaktu mendengar ulang siar rancangan di Radio IKIM pada suatu malam. Seorang ibu bertanya kepada ustaz tentang apa yang harus dilakukan kepada anaknya yang agak lembap dan bagaimana untuk sabar dalam mengajar anak tersebut.

Jawapan ustaz itu buat saya insaf.

"Bukan kita yang memberi anak-anak faham apa yang diajar."

Pesannya lagi, kita hanya menjalankan tanggungjawab mengajar anak. Yang memberinya kefahaman adalah Allah.

Perlu sabar dalam mengajar dan banyak berdoa kepada Allah agar anak diberi kefahaman.

Jangan banding-bandingkan anak. setiap anak ada kelebihan. Berbaik sangkalah dengan anak."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...