Selasa, 17 Februari 2015

Anak Kecil Mudah Meniru

Teks: Faridah Yusof

Anak kecil apabila melihat, mereka bukan sekadar melihat. Mereka melihat dan menyimpan dalam ingatan mereka.

Siapa yang selalu dilihat oleh anak-anak ini? Sudah tentu orang yang selalu berada disekelilingnya seperti ibu, ayah, pengasuh, nenek, datuk, adik-beradik, kawan-kawan di taska dan sebagainya.

Anak kecil yang selalu melihat perbuatan solat, akan mudah meniru perbuatan solat itu. Biarpun dengan pelat menyebut takbir dan tidak sempurna rukuk dan sujudnya.

Anak kecil yang selalu melihat orang sekelilingnya membaca atau mengaji, juga akan mudah meniru perbuatan membaca dan mengaji. Biarpun, buku yang dipegangnya terbalik dan salah sebutan makhrajnya.

Begitulah sebaliknya, jika anak kecil yang selalu melihat orang menyanyi, menari dan sebagainya.

Anak-anak kecil sangat suci. Mereka belum berupaya menapis setiap yang dilihat samada perkara yang baik atau sebaliknya. Apa yang sering dilihat menjadi input ke dalam minda mereka. Kemudian, mereka meniru perbuatan tersebut.

Maka, menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memastikan anak-anak kecil kita terdedah kepada perbuatan dan perkataan yang baik.



Ahad, 15 Februari 2015

Selamat Pengantin Baru.

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Selesai sudah majlis perkahwinan adinda saya yang ketiga pada 14 Februari 2015. Walaupun masih belum hilang kepenatan menguruskan majlis, namun, kami sekeluarga amat bersyukur dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga. Orangnya yang sopan dan lembut bila berbicara.

Kami sekeluarga mendoakan pasangan pengantin baru ini dapat menjalani kehidupan berumahtangga dan berkeluarga dengan aman, tenang dan bahagia di dunia. Seterusnya berbahagia di syurga yang kekal abadi. Serta didoakan juga Allah mengurniakan mereka rezeki yang murah dan berkat, rezeki anak-anak yang soleh, solehah, rezeki kesihatan serta ketenangan hati. Aamiin.

Selamat Pengantin Baru, Fadhilah dan Zainin. Allah, berkati mereka berdua. Aamiin.

Khamis, 12 Februari 2015

'Aina oh 'Aina

Teks: Faridah Yusof

Alhamdulillah. Hari ini cuaca agak panas. Saya juga kurang sihat. Kepala agak berat dan pening. Kasihan pada anak-anak tidak dapat perhatian hari ini. Terutama sekali Muhammad Darwisy.

Sedang saya berbaring dan mata terpejam, telinga saya mendengar dengan jelas, 'Aina menyanyi-nyanyi.

Macam-macam lagu yang dinyanyikan dengan lirik rekaannya sendiri, tapi iramanya macam biasa didengar. Sesekali liriknya membuat saya tersenyum sendiri. Lagu Negaraku yang paling kerap diulang. Mungkin di sekolah tadikanya dia belajar. Tetapi bila sampai ke penghujung lagu, bukan  "Raja kita selamat bertakhta" yang disebut. Dia pandai-pandai pula menyanyikan "Raja 'Aina...
..."

'Aina oh 'Aina. Mama doakan 'Aina sentiasa dalam perlindungan dan kasih sayang Allah. 'Aina masih lagi di Buku 1 Bacalah Anakku. Walaupun sangat perlahan prosesnya, alhamdulillah, dia sendiri sudah mahu belajar membaca. InsyaAllah, kita berusaha, Allah tentukan.

Rabu, 11 Februari 2015

Buku Ajar Anak Kecil Membaca Awal

Teks dan foto : Faridah Yusof

Alhamdulillah, saya sangat seronok membaca buku Ajar Anak Kecil Membaca Awal, hasil tulisan pasangan suami isteri, Puan Nik Eliani dan Tuan Othman.

Buku comel berwarna merah jambu ini sangat sesuai dihadiahkan kepada atau dibaca oleh pasangan suami isteri yang baru berkahwin, yang bakal menimang cahaya mata, yang mempunyai anak kecil (seperti saya) atau yang mahu mengajar anak membaca di rumah.

Saya merasa seronok dan teruja setiap kali membaca dan mengulang baca tip-tip yang dikongsikan di dalam buku ini. Penulis berkongsi tentang pengalaman mereka mengajar membaca enam orang anak mereka. Penulis juga memberi tips untuk mula awal sejak dari dalam kandungan. Selain itu, penulis juga berkongsi tentang kaedah fonik untuk mengajar anak membaca, mengapa kaedah ini berkesan dan hasil kajian mengenai keberkesanan fonik.

Saya banyak mengamalkan tip meransang anak kecil membaca kepada Muhammad Darwisy. Antaranya ialah membaca buku, menyanyilagu seperti Abu Ada Ayam/nasyid Al Furqan, berbual-bual tentang perkara disekelilingnya, mengimbas dan menekap huruf dan yang penting bercakap dengannya menggunakan bahasa biasa bukan bercakap mengikut pelat bayi.

Alhamdulillah, sudah nampak sedikit demi sedikit perkembangannya. Dia suka membuka helaian buku, melihat gambar, mengulang sebut beberapa perkataan seperti ayah, ada, ayam. Dia suka dengan buku Bacalah Anakku dan Al Furqan.

Buku yang mempunyai 74 muka surat ini mudah disimpan dan dibawa di dalam beg tangan/beg bayi saya. Bila-bila ada masa terluang ketika berada di luar, saya dapat mengulang baca buku ini.

Isnin, 9 Februari 2015

Kanak-kanak Cepat Belajar

Teks: Faridah Yusof

Selepas kami sekeluaga tengok demo dan belajar tentang air, ada satu perubahan yang ketara pada anak dan suami. Sekarang hari-hari anak yang sulung dan suami bawa bekal air putih ke sekolah dan tempat kerja.

Bila anak ikut saya ke kedai untuk membeli barang, dia hampiri dan melihat ke dalam peti ais sambil berkata kepada saya, "Air gas ni, tidak elok. Ada asid". Walaupun kami memang tidak biasa belikan anak air berbikarbonat tetapi mereka ada melihat saya minum air 100 Plus. Jadi fahamlah saya, kata-katanya itu seakan-akan mengingatkan saya. Alhamdulillah, saya doakan agar ilmu yang kami perolehi dapat memberi manfaat kepada diri, keluarga dan orang sekeliling kami.

Jumaat, 6 Februari 2015

Conteng Di Buku Ajaib

Teks dan foto: Faridah Yusof

Alhamdulillah.

Pagi ini sejuk dan mendung. Muhammad Darwisy bangun awal pagi hari ini. Selepas mandi dan menyusu tadi, dia tidur semula. Sambil dia tidur, mama buat kerja sedikit. Ada pesanan pelanggan yang perlu diproses.

Alhamdulillah, saya menerima banyak pesanan dari para ibu yang baru pertama kali mahu mencuba lampin moden atau lebih dikenali sebagai 'cloth diapers'. Seronok apabila ramai beralih kepada lampin kain moden ini. Ia bukan sahaja mudah digunakan, bahkan mampu memberi penjimatan kepada perbelanjaan keluarga. 

Saya sendiri mula menggunakan lampin ini sejak anak kedua selepas meletakkan jawatan. Memang tujuan asal beralih kepada lampin moden ini untuk berjimat. Rupanya bukan sahaja dapat menjimatkan wang bahkan sampah di rumah juga tidak banyak. Bayangkan saya ada dua anak, ketika itu kedua-duanya menggunakan lampin. Satu hari sahaja, sudah 8 -10 lampin pakai buang dalam plastik sampah.

Muhammad Darwisy sudah bangun. Sekarang,  bangun sahaja dari tidur terus capai pen atau pensel. Dia dah boleh pegang pensel, jadi saya bagi dia menconteng buku magik kakaknya yang dibeli tahun 2 lepas. Masih tahan sampai sekarang. Cuma ganti 'marker pen' sahaja.

Contenglah Darwisy. Mama tak kisah. Nanti boleh padam dan tulis lagi.

Khamis, 5 Februari 2015

Beri Peluang Dan Buka Ruang Kepada Kemahiran Baru Si Manja

Teks dan foto:

Hari ini Muhammad Darwisy sudah genap 18 bulan. Alhamdulillah, dia sungguh aktif dan suka meneroka pelbagai perkara baru.

Pantang dia melihat saya atau kakak-kakaknya menulis. Dia mesti nak rebut pen atau pensel yang dipegang. Dia sudah aktif menconteng sekarang.

Pada mulanya, saya lihat dia memegang pen atau pensel dengan menggenggam. Setelah dilatih memegang pen atau pensel dengan betul, alhamdulillah, Muhammad Darwisy sudah boleh memegangnya dengan dua jari. Semakin aktif dia menconteng. Mula-mula dia menconteng di kertas dan buku, bila terlepas dari pandangan sekejap, dia sudah menconteng dinding, lantai, cadar dan buku sekolah kakaknya.

Pada waktu anak sedang seronok meneroka kemahiran baru, ibubapa sangat perlu memberi sokongan dan dorongan. Berilah pelbagai bahan untuk dicuba. Tidak perlu desakan atau meletakkan harapan untuk hasil kerja yang cantik. Cukup sekadar memberi pendedahan.

Berikan pujian dan tunjuk ajar mengikut kemampuan anak. Setiap anak juga berbeza tahap perkembangan mereka. Raikan mereka dengan sentiasa memberi dan membuka peluang untuk belajar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...