Isnin, 5 Januari 2015

5 Langkah Awal Untuk Anak Demam

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Anak-anak demam secara bergilir-gilir.

Demam beserta selsema dan batuk. Bunyi batuknya mengokol. Duduk dekat terasa panas badan mereka.

Anak-anak yang sedang demam memang akan meragam. Makan tidak mahu, minum tidak mahu. Bila malam, tidur tidak lena, senang terjaga bila terbatuk.

Ibu juga tidak dapat tidur.

Berikut 5 langkah awal berhadapan dengan anak demam.

1. Pantau suhu badan dan keadaan anak.

Suhu yang tinggi boleh membawa kesan tidak baik kepada perkembangan minda anak kecil. Turunkan suhu panas anak dengan mengelap badan anak dengan tuala lembap dengan perlahan.

Perhatikan perubahan pada badan anak seperti bintik-bintik merah, begkak di leher, bintik putih atau ulser di dalam mulut.

Jika suhu masih tidak turun, bawa ke klinik.


2. Berikan sup dan minum air suam.

Anak-anak memang tidak mahu makan. Namun mereka perlu makan dan minum untuk tenaga. Berikan mereka sup. Untuk tarik minat mereka minum, berikan air suam dalam cawan atau bekas yang comel.

Jika demam disebabkan sakit mulut atau tonsil bengkak, berikan mereka minum menggunakan straw.

Pengalaman anak  kecil demam disebabkan oleh sakit di dalam mulut dan tonsil bengkak, dia lansung tidak mahu makan atau menyusu, sehingga saya berikan dia aiskrim  vanila kepadanya baru dia mahu menyusu. Itupun, saya berikan susu ibu perahan yang saya sejukkan sebentar  di dalam bekas minuman yang comel. Saya juga kerapkan penyusuan bila dia sudah mahu menyusu.


3. Banyakkan pelukan

Ini memang luarbiasa kesannya.

Anak demam yang meragam jadi lebih tenang bila dipeluk.

Anak kedua saya kerap menangis semasa demam terutamanya pada waktu malam.

Namun, bila saya peluk dan pegang tangannya, baru dia tidak lagi menangis.


4.  Urutan

Ini juga berkesan untuk memberikan sedikit kelegaan pada anak.

Urut kakinya atau belakangnya dengan lembut dan perlahan.

Terpulang jika mahu menggunakan sedikit minyak bayi.



5. Kata-kata  dan doa

Banyakkan berkomunikasi dengan anak.

Banyakkan memberi kata-kata semangat dengan senyuman dan wajah yang ceria.

Ibu dan ayah juga banyakkan berdoa memohon kepadaNya supaya diberikan kesembuhan dan dipertemukan dengan ubat yang sesuai.

Ajarkan juga anak-anak berdoa sendiri kepada Allah supaya mereka tahu sakit dan kesembuhan datang dari Allah.

Ibu juga rasa mahu demam.

Ya Allah berikan kami kesembuhan. Aamiin.

Ahad, 4 Januari 2015

Bah

Teks: Faridah Yusof

Kami pulang ke rumah mertua setiap Ahad.

Kami biasanya dapat melihat kehijauan sawah bendang yang terbentang luas.

Namun, permandangan kami kali ini bukan lagi sawah bendang yang menghijau. Sawah bendang telah dipenuhi air banjir menjadi lautan yang luas di tepi jalan.

Banyak kenderaan dan ramai orang berhenti di tepi jalan seperti ada pesta.
Ada yang merakam gambar, ada yang sedang mengambil peluang memasang jaring, ada yang melihat dan macam-macam lagi.

Banjir di bahagian Perak Tengah sudah meluas ke Hulu Kayan.

Banjir kali ini dikatakan besar dan kesannya juga besar.

Adik dan kakak ipar saya, rumah mereka masing-masing ditenggelami air. Adik ipar menumpang di rumah mertua.  Adik-adik ipar yang lain juga sudah beberapa hari tidak bekerja.

Dikhabarkan kepada kami dua kisah kematian, anak kecil berumur 4 tahun yang terlepas dari pegangan tangan semasa merentas arus air banjir dan seorang pemuda 20an yang lemas semasa cuba menangkap ikan.

Adik ipar sendiri menceritakan pengalamannya yang berpindah pada jam 2 pagi ketika air sudah naik ke paras pinggang bersama anak- anak kecilnya menaiki bot bomba dan air yang deras, hanya Allah  tempat bergantung. Jika sudah sampai masanya semua perlu redha.

Allahuakbar.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Apa yang saya perhatikan di kawasan di landa banjir, anak-anak kecil pastinya tidak mengerti apa yang berlaku.

Ini peluang yang baik untuk bercerita kepada anak-anak tentang banjir.

Anak saya sendiri saat melihat banjir, dia mahukan banjir di rumah. Katanya boleh main air, boleh berenang.

Setelah melalui satu detik cemas melalui kawasan banjir, barulah  dia tidak lagi menyebut mahu banjir.

Namun yang pasti, kejadian bah yang dialami di beberapa negeri di Malaysia seperti di Kelantan, Terenggan, Pahang, Perak, Perlis, Johor dan Sarawak adalah ujian dariNya.

Allah, ampunkan dosa-dosa kami. Terimalah taubat kami. Aamiin.

Sabtu, 3 Januari 2015

Hari Yang Indah

Teks: Faridah Yusof

Bismillah.

Hari ini hari yang indah.

Biar mentari tidak bersinar seterik selalu, hari ini memberi sinar yang cemerlang dan ceria.

Hari ini hari ulangtahun kelahiran manusia yang dicintai ramai orang. Ramai orang cinta, sayang, kagum, sanjung dan rindu kepadanya walau tidak pernah bertemu atau mendengar suaranya.

Ajarkan dan kenalkan anak-anak kepada manusia ini. Biasakan mereka berselawat kepada Nabi. Jika belum biasa, jadikan hari ini permulaannya.

Allahummasolli'ala Muhammad.

Kami rindu padamu.

Isnin, 22 Disember 2014

Bermain layang-layang

Teks dan foto : Faridah Yusof

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Anak-anak suka bermain layang-layang. Pada musim cuti sekolah kali ini, kami beri peluang mereka bermain layang-layang. Kami pun dapat bermain sekali.

Aktiviti bermain layang-layang sesuai dijalankan di kawasan yang lapang dan berangin seperti di padang, di tepi pantai dan  kawasan bendang.

Alhamdulillah, anak-anak seronok dapat melihat layang-layang terbang tinggi. Tambah seronok bila dapat bermain layang-layang di dua lokasi yang berbeza, di bendang dan di padang.


Bermain layang-layang di bendang

Suami dan bapa mertua bawa kami sekeluarga bermain layang-layang di kawasan bendang di kampung suami, Felcra Changkat Lada, Perak.

Anak-anak diberi peluang mencuba bermain layang-layang. Mereka belum pandai menaikkan layang-layang sendiri, juga belum dapat mengawal layang-layang.

Oleh kerana mereka tidak dapat mengawal layang-layang apabila ditiup angin yang kuat, mereka terlepas tali layang-layang. Layang-layang mereka terbang ke dalam bendang. Terpaksalah suami dan bapa mertua menyinsing seluar turun ke bendang untuk mengambil layang-layang mereka.

Selain dapat bermain layang-layang, dapat buat aktiviti luar, lihat keindahan alam dan makhluk ciptaan Allah yang ditemui di bendang/sawah padi. Mereka teruja melihat pokok padi, sawah bendang, tali air, burung-burung yang berterbangan, siput dan telur siput yang berwarna merah jambu.










Bermain layang-layang di padang

Bermain layang-layang di padang juga seronok. Anak-anak lebih bebas berlari. Cuma anak-anak masih belum pandai mengawal tali layang-layang apabila angin bertiup kuat atau pada masa tiada angin.

Mereka kelihatan kecewa apabila layang-layang tidak berjaya diterbangkan dan sangat gembira apabila layang-layang berjaya diterbangkan.


         


         


Tips Bermain layang-layang bersama anak 
#1 Pilih kawasan yang bersesuaian, berangin dan selamat seperti padang atau  tepi pantai.

#2 Elakkan kawasan yang berhampiran dengan tiang elektrik, tiang lampu, pokok, tebing bukit. tepi jalanraya

#3 Main layang-layang bersama anak. Libatkan anak seperti minta dia pegangkan badan layang-layang.

#4 Tunjukkan kepada anak cara bermain layang-layang ketika angin bertiup kuat dan ketika tiada angin.

#5 Beri peluang kepada anak untuk menaikkan layang-layang seperti ibu atau ayah pegangkan badan layang-layang dan minta anak berlari sedikit untuk terbangkan layang-layang.

#6 Beri kata galakan dan pujian di atas usaha mereka.


Ahad, 14 Disember 2014

Mama, nak pergi kedai nenek!

Teks dan foto: Faridah Yusof

Bismillah.

Anakanda saya yang sulung dan kedua, pagi-pagi sudah bangun. Kata mereka " Mama, nak pergi kedai nenek!"

Saya tahu mereka memang suka pergi kedai runcit emak saya. Mana tidaknya, macam-macam yang ada di kedai menarik perhatian mereka.

Bila pulang ke kampung sekali - sekala, mereka dilayan manja oleh adik - beradik saya yang lain. Diikatkan rambut, dipakaikan butang tudung yang comel, dapat aiskrim, belon dan macam-macam lagi.

Sebelum mereka ke kedai, saya sempat berpesan, tolong nenek jaga kedai, tolong sapu sampah dan lain-lain.

Di sebelah kedai runcit emak, ada padang bola. Cucu-cucu emak yang lelaki memang suka bermain di padang. Mereka bebas berlari di situ. Puas hati dapat berlari di kawasan lapang tanpa sebarang halangan. Puteri dan putera saya juga tidak ketinggalan.  Mereka juga seronok berlari-lari di padang.

Berlari keliling padang dapat mengeluarkan peluh, badan jadi sihat dan cergas. Selain itu, ia juga membantu perkembangan emosi anak-anak. Anak-anak rasa gembira dan ceria bila dapat berlari bebas dan berkejar-kejaran sesama mereka.





Alhamdulillah, saya pula dapat belajar dengan adik cara-cara untuk membuat puding. Belajar cara asasnya, kemudian boleh dipelbagaikan rasa dan dekorasinya.

Sabtu, 13 Disember 2014

Mahu Balik Kampung

Teks dan foto : Faridah Yusof

Bismillah.

Anak-anak sungguh gembira bila diberitahu kami sekeluarga akan pulang ke kampung nenek di Melaka. Berulang kali mereka bertanya bila nak balik kampung. Selalu hujung minggu balik ke rumah opah di Perak. Alhamdulillah, waktu cuti sekolah yang panjang ini, boleh ambil peluang untuk pulang ke Melaka.

Dek kerana mereka sedang teruja dan gembira mahu balik kampung, saya minta mereka pilih baju dan barang-barang yang mereka mahu bawa.

Saya pula mahu sediakan roti sarang lebah dan mini pizza permintaan suami dan anak-anak. Selalunya bila berjalan jauh dari Perak ke Melaka, kami berhenti sebentar di masjid atau kawasan R&R untuk solat, rehat dan makan.

Alhamdulillah,  salah satu tempat yang kami selalu singgah ialah Masjid Simpang Lima, Sungai Besar Selangor. Berlatarbelakang kawasan sawah padi, sungguh damai dan tenang dapat berehat sebentar.




Rabu, 10 Disember 2014

Anak dan Roti

Teks dan foto :Faridah Yusof

Bismillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Apa khabar semua? Semoga semua sentiasa tenang dan positif menjalani kehidupan.

Apa makanan kegemaran anak anda?

Anak-anak saya sangat menggemari roti. Kalau dengar saya atau suami mahu ke kedai beli barang, mereka pasti memesan untuk dibelikan roti. Jika beli roti sandwich, kami panggil roti potong, yang pek panjang, satu hari sahaja boleh habis dimakan.

Akhirnya, suami beri cadangan buat roti sendiri di rumah. Kebetulan juga sedang musim cuti sekolah. Jadi, boleh beri peluang anak-anak bermain dengan doh untuk mengasah kemahiran motor halus mereka. Alhamdulillah, dapatkan bahan-bahan untuk buat roti seperti tepung berprotein tinggi, telor, yis dan marjerin, terus menguli.

Satu keluarga teruja mahu buat roti. Si manja Darwisy juga mahu turut serta.




Saya guna resepi doh asas roti manis, selepas itu boleh buat macam-macam bentuk roti.

Resepi doh asas roti manis:

1. 5 gm garam
2. 500gm tepung roti (high protein flour)
3. 100 gm gula
4. 20gm susu tepung
5. 6gm bread improver * saya tidak gunakan
6. 50gm marjerin
7.10gm yis kering
8. 2 biji telor
9. 250gm air sejuk + ais
10. 6gm bread softener * saya tidak gunakan

Cara:

Masukkan kesemua bahan ke dalam mangkuk adunan mengikut turutan nombor dari 1-10.
Uli sehingga doh elastik dan berkilat.
Uji dengan basahkan jari dengan minyak, ambil sedikit adunan, tarik nipis, doh tidak koyak.
Anggaran masa 20-25 minit mengikut kelajuan mesin pengadun masing-masing.
Sementara itu, minyakkan loyang. Bulatkan doh mengikut citarasa seperti bun, roti pizza,roti bun sarang lebah dan sebagainya. Tunggu doh naik sekali ganda baru taburkan bijan atau bahan-bahan lain.
Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 150 atau 170 darjah celcius selama 20 minit atau sehingga roti masak.





Anak-anak semua mahu membulatkan doh yang sudah siap.

"Nak buat roti, nak buat roti". Masing-masing merengek nak buat roti sendiri.


Saya berikan mereka seorang sedikit doh dan loyang pelapik. Bukan main seronok. Syaratnya dah bakar nanti mesti makan.

Aktiviti ini sesuai untuk tajamkan kemahiran motor halus anak-anak berumur 5-7 tahun. Ia membantu koordinasi tangan/jari dan mata.

Anak-anak dapat bermain dengan doh. Mereka boleh uli, tekan, gelek, picit, golek doh.
Buat bentuk yang digemari. Macam-macam bentuk mereka buat. Siap buat mata, mulut dan hidung roti.



Alhamdulillah, memang mereka seronok dapat bermain doh dan buat roti bun mereka sendiri. Makan pula bersama air teh panas.

Ibu pula perlu senyum dan positif untuk mengendalikan lantai dan baju anak-anak yang dipenuhi cebisan-cebisan doh.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...